SHAH ALAM - Kenyataan bekas menteri, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz nasib Umno kini di tangan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad enggan bekerjasama dengan parti Umno hanyalah merupakan propaganda.

Penganalisis politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berkata, Umno sekarang dalam keadaan kritikal apabila bebebapa ahli Majlis Tertinggi Umno mulai meninggalkan Umno susulan tidak setuju dengan hala tuju Umno kini.

Menurutnya, di dalam Umno kini mempunyai banyak 'suara' dan bekas menteri berkenaan (Nazri) mewakili suara dan kumpulannya yang sebelum ini sememangnya diketahui tidak menyukai Pas sejak dari dahulu lagi.

“Jadi saya fikir kenyataan beliau (Nazri) hanyalah merupakan gimik dan propaganda yang jauh menyimpang dari realiti sebenar apa yang diinginkan beliau yang mahu meletakkan masa depan Umno di tangan Anwar (parti kerajaan) dan bukannya Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Dalam Umno kini ada banyak suara… ada yang mahu bekerjasama dengan Pas mengikut kepimpinan kini… ada yang ingin bekerjasama dengan Bersatu dan ada juga yang mahu bekerjasama dengan PKR. Beliau hanya bawa suaranya dan kumpulannya sendiri,” katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: Terima individu, tak terima Umno: Tun M]

Azizuddin berkata, Nazri berkemungkinan memikirlah langkah kerjasama antara Umno dan PKR itu mampu untuk membentuk sebuah kerajaan serta Anwar dilihat sebagai membantu Umno untuk tidak berpecah.

“Ini lebih kepada propaganda untuk mencari rakan sekutu (parti) yang baik di luar skop BN yang sekarang ini.  Bagi Nazri yang memang dari dulu tak suka Pas, beliau ingin bekerjasama dengan PKR bagi mewakilinya dan suara dalam kumpulannya.

Sebelum ini, memetik laporan portal MalaysiaKini, Nazri berkata, Umno yang kini diterajui Ahmad Zahid tidak mempunyai hala tuju selepas kekalahan pada pilihanraya umum yang lalu.

Nazri berkata, satu-satunya harapan untuk hala tuju Umno kini adalah bekerjasama dengan Anwar setelah Dr Mahathir menolak kerjasama dengan pihaknya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Lebih baik bersama Harapan berbanding Pas: Nazri]

Dr Mahathir sebelum ini menegaskan pihaknya menerima penyertaan ahli Umno ke dalam parti di bawah PH, bagaimanapun tidak sesekali menerima parti berkenaan ke dalam PH.

Menurutnya, sekiranya Umno bekerjasama dengan PKR, PH tidak akan sesekali menerima Umno dalam pakatan berkenaan.