BAGAN DATUK - Ahli Umno diingatkan supaya tidak melupakan jasa dan pengorbanan pemimpin terdahulu yang terus setia berjuang demi kemajuan dan pembangunan negara, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, kemajuan dan pembangunan sesebuah negara tidak boleh dicapai hanya kerana hasil usaha dan pengorbanan segelintir pemimpin tertentu sahaja.

"Pemimpin terdahulu harus dihargai kerana jangan fikir adanya kita hari ini kerana kita. Sebaliknya, adanya kita kerana pemimpin terdahulu yang tidak tikam dari depan mahupun belakang dan pemimpin yang tinggalkan perjuangan," katanya.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata demikian ketika berucap merasmikan Dewan Dato Loppe Hashim dan Program Ceria ke Sekolah 2018 di sini, hari ini.

Seramai 6,000 pelajar sekolah rendah dan menengah dalam Parlimen Bagan Datuk menerima sumbangan kelengkapan sekolah yang diberikan beberapa syarikat korporat termasuk UEM Group selain Kelab Putera 1Malaysia.

Ahmad Zahid berkata bagi menghargai jasa veteran Umno di Perak, daerah Bagan Datuk telah mengambil inisiatif menamakan dewan-dewan serta masjid di kawasan itu dengan nama-nama pemimpin tempatan terdahulu yang banyak berbakti semasa hayat mereka.

Ini termasuk Dewan Dato Loppe Hashim yang dinamakan sempena tokoh pemimpin setempat yang merupakan Adun Rungkup pada 1959 hingga 1974, katanya.

Timbalan perdana menteri turut meluangkan masa melawat tapak projek masjid terapung di sini dan beramah mesra dengan pengunjung di Dataran Bagan Datuk serta membeli beberapa juadah termasuk cucur pisang selain air kelapa. – Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Masyarakat kini kian matang dalam menentukan calon-calon yang berintegriti untuk menjadi wakil rakyat mereka pada PRU14 kelak.
  • KOTA BHARU - Pemimpin Umno di peringkat cawangan dan bahagian perlu proaktif dan pantas menangkis fitnah dilemparkan pembangkang terhadap kepimpinan parti, kata Anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
  • SHAH ALAM - Ahli Majlis Pemimpin Pusat PKR, Latheefa Koya semalam memuat naik beberapa status di laman sosial, Facebook miliknya yang dipercayai ditujukan kepada seorang pemimpin kanan PKR.
  • JERANTUT - Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyifatkan pemilihan tiga pemimpin Melayu daripada dua parti berbeza menerajui pakatan pembangkang sebagai satu lantikan taktikal dalam usaha meraih sokongan Melayu selain hanya akan menguntungkan DAP.