SHAH ALAM - Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) menggesa wakil rakyat Pas mengusulkan akta anti lompat parti supaya kerusi wakil rakyat yang keluar parti dan menjadi wakil bebas dikosongkan bagi membolehkan rakyat membuat pemilihan semula.

Ketua Pemuda Ikatan, Shahir Adnan berkata, setiap wakil rakyat dipilih sepatutnya bekerja keras hingga PRU15 selain tidak patut terbabit percaturan politik untuk menentukan mana-mana individu terus berkuasa atau menghalang mendapat kuasa di peringkat tertinggi dalam negara ini.

Menurutnya yang juga Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera, pemimpin harus sedar kemenangan semasa pilihan raya disebabkan jentera parti, khidmat ahli akar umbi, manifesto dan kesepakatan antara pemimpin serta ahli parti yang mendukung calon-calon di setiap parlimen atau Dun.

“Meski keluar parti tak jadi kesalahan dari segi undang-undang namun tindakan tidak kosongkan kerusi ibarat s khianati amanah rakyat, perjanjian parti dan keyakinan pengundi di kawasan mereka yang buat pilihan pada PRU14.

“Justeru, kami harap tindakan (lompat parti) begini harus diberhentikan agar proses demokrasi terus subur,” katanya sebagai mengulas tindakan beberapa pemimpin utama Umno yang bertindak keluar parti dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau berkata, sehingga kini tiada mana-mana parti politik termasuk Umno yang boleh menghalang wakil rakyat melompat parti atau menjadi bebas berdasarkan perundangan negara.