SHAH ALAM - Hubungan akar umbi Pas dan Umno secara tradisinya tidak memungkin kedua parti itu berbaik sangka.

Demikian menurut Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib mengulas mengenai kerjasama politik terkini antara Pas-Umno.

Katanya, walaupun pemimpin tertinggi Umno dan Pas sudah nampak boleh berunding. Reaksi akar umbi tradisi Pas masih kolot.

"Pas bukan kawan sejati kepada mana mana parti.Jadi impian untuk melihat apa sahaja kerjasama politik melibatkan Pas pasti gagal," katanya kepada Sinar Harian.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Balakong,Seri Setia: Satu lawan satu, kerjasama Pas-Umno]

Mengulas lanjut, Md Shukri berkata, pengalaman Pas bersama BN juga pernah gagal, bahkan bersama Pakatan juga gagal.

"Jadi kegagalan Pas untuk menyerap intipati kerjasama dengan pihak lain amat sukar. Sebab itu, di PRK Seri Setia juga, saya tidak yakin orang Pas boleh menerima kehadiran juru kempen Umno secara langsung.

"Jadi PRK Seri Setia juga bukan medan yang boleh membawa kemenangan Pas di situ, kerana kekuatan jentera masih lemah dan tiada koordinasi baik sesama pembangkang lain," katanya.

Merumuskan perkara ini jelasnya, "Tiada apa apa kemajuan membentuk satu pembangkang yang kuat hingga kini,".