KUALA TERENGGANU - Bersatu Terengganu meminta semua pihak khususnya pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan menghormati keputusan yang telah dicapai keempat-empat parti dalam Pakatan Harapan.

Pengerusinya, Datuk Razali Idris yang sedar bahawa keputusan meletakkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon perdana menteri Pakatan Harapan tidak memuaskan hati segelintir pihak, namun meminta semua pihak akur dengan keputusan akhir yang telah dicapai.

Menurutnya, persetujuan dari semua peringkat akan lebih membantu Pakatan Harapan mara dan memudahkan gerak kerja memastikan matlamat Pakatan Harapan mentadbir negara pada PRU14 akan datang berjaya direalisasikan.

“Belajar hormatilah keputusan oleh Pusat untuk pastikan gerak kerja dan usaha kita dalam kempen dan tugas berdepan pilihan raya dapat dijalankan dengan jayanya.  

“Ambillah nasihat Dr Mahathir agar semua parti melupakan ketidakpuasan hati sebagai faktor kekuatan Pakatan Harapan kerana pastinya tidak akan satu parti komponen Pakatan Harapan akan bersetuju dalam semua perkara,” katanya kepada Sinar Harian, di sini.

Beliau berkata sebagai mengulas mengenai beberapa pihak yang menolak keputusan tersebut khususnya Mahathir sebagai perdana menteri Pakatan Harapan walaupun dipersetujui sebulat suara oleh kepimpinan keempat-empat parti.

Mengulas lanjut katanya, apa yang penting adalah persetujuan akhir mengenai calon perdana menteri dan timbalannya.

Razali berkata, keputusan dicapai oleh keempat-empat pimpinan utama parti komponen Pakatan Harapan itu menggambarkan semua pihak mementingkan matlamat menumbangkan Umno dan BN.

Di pihak Bersatu Terengganu, pihaknya akan meneruskan gerak kerja yang telah dipertanggungjawabkan untuk memastikan Bersatu meluaskan pengaruhnya di negeri ini sekaligus membantu kemenangan Pakatan Harapan di peringkat negeri dan Pusat.

“Bersatu Terengganu tidak memandang ke belakang lagi tetapi bergerak terus untuk menjamin semua kerusi Parlimen dan negeri yang dipertandingkan oleh PH akan mencapai kemenangan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • ALOR SETAR - Persempadanan semula kawasan pilihan raya di Kedah tidak semestinya memihak kepada kemenangan Pakatan Harapan (Harapan) pada PRU14, kerana ia bukanlah penentu utama kemenangan.
  • SEREMBAN - Dun Klawang bakal berdepan dengan perlawanan tiga penjuru apabila calon daripada Parti Amanah dijangka akan bertanding di kerusi itu.
  • KOTA BHARU - Perjuangan PKR, Bersatu dan Amanah melalui Pakatan Harapan sebenarnya berasaskan dendam, marah dan inginkan jawatan sahaja,kata Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Izani Husin.
  • SHAH ALAM - GENDANG PRU14 telah dibunyikan, setiap parti baik BN, Pakatan Harapan (Harapan) dan Pas sedang mencongak strategi untuk menang di kerusi-kerusi yang bakal ditandingi.
  • SEREMBAN - Parti Bersatu Negeri Sembilan mendesak supaya pucuk tertinggi pimpinan Pakatan Harapan membuka semula rundingan pembahagian kerusi Dun di negeri ini.