ALOR SETAR - Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammudin Tun Hussein yakin kepimpinan Barisan Nasional (BN) Kedah mampu berdepan apa juga keadaan untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) akan menjelang, tidak lama lagi.

Menurutnya, beliau cukup yakin dengan gerak kerja dan persediaan jentera BN yang sudah mengorak langkah menggerakkan untuk mendekati pengundi sasaran mereka.

"Masa untuk kita berkursus dan melakukan taklimat sudah berlalu. Sekarang ini, kita perlu membuat gerakan yang bersasar dan tersusun rapi yang penting sekali merapatkan barisan sekaligus mengurangkan masalah sesama kita.

"Saya cukup yakin dengan barisan kepimpinan BN Kedah mampu berhadapan apa juga keadaan, walaupun ada yang membuat ramalan yang bermacam-macam. BN Kedah mampu berbuat demikian kerana  mempunyai sokongan daripada bawah (rakyat),"katanya, pada sidang media, selepas merasmikan Himpunan Jentera BN Kedah, di Kawasan Lapang Taman Ria Jaya, di sini, petang tadi.

Turut bersama, Pengerusi BN Kedah yang juga Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah dan seluruh barisan kepimpinan BN negeri.

Menurutnya, himpunan ribuan jentera BN Kedah yang terdiri parti komponennya menunjukkan kesetiaan pemimpin dan akar umbi telah diuji, walaupun parti berdepan dengan pelbagai ujian dan dugaan, sebelum ini.

"Saya menyatakan dalam ucapan tadi, mereka yang berhimpun hari ini , mereka yang diuji kesetiaannya , tiga tahun kita berdepan macam-macam ujian dan dugaan, saya tahu , ia bukan satu mudah di Kedah ini. Apapun, mereka (jentera) tetap bersama-sama dengan parti dan sanggup bersama-sama dalam pelancaran  jentera parti hari ini.

"Saya cukup yakin, mereka yang setia ini akan bersungguh-sungguh memastikan kemenangan sesiapa sahaja dilantik menjadi calon BN oleh pucuk kepimpinan parti dalam PRU akan datang," katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran bakal dihadapi oleh BN di Kedah, Hishammuddin berkata cabaran di Kedah tiada bezanya di Johor Baharu.

"Ada juga pemimpin -pemimpin bekas Umno pun nak bertanding di  Johor juga tetapi saya mengingatkan kepada jentera, bahawa sesungguhnya BN dan Umno tidak mengkisarkan kepada seorang individu bagi memimpin kita selama 22 tahun sebagai, sekarang berumur 93 tahun, dan ditawarkan semula. Saya percaya bahawa apa yang diputuskan oleh mereka (Pakatan Harapan) hanya mempertimbangkan politik yang sementara.

"Kita tidak boleh benarkan. Jentera di Kedah perlu ada kesedaran untuk menyampaikan mesej yang jelas kepada rakyat kerana ada mereka mungkin  keliru, beremosi atau mempunyai sentimen peribadi terhadap perkara-perkara yang sebelum ini," katanya.

Tambah beliau, landskap politik dunia  sudah berubah, tidak ada mana-mana pemimpin yang boleh mengambil mudah kedudukan mereka.

"Sebab itu, slogan dan pendekatan kita yang menentukan segala-galanya adalah rakyat. Walaupun, ribuan yang berhimpun hari ini, tetapi jumlahnya tidak mencukupi menentukan kemenangan BN.

"Malah, yang akan menentukan kemenangan BN adalah rakyat di luar sana. Oleh itu, saya ingatkan kepada mereka (jentera) supaya mendekati golongan muda, cikgu, anggota kita  yang bukan ahli parti kita (BN) pun,"katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • PORT DICKSON - Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual mengadakan lawatan kerja ke Negeri Sembilan, Isnin ini, dan salah satu destinasi dalam jadual kunjungannya adalah Port Dickson.
  • TANJUNG RAMBUTAN - BN Perak menyenaraikan beberapa individu dalam kalangan penjawat awam di negeri ini sebagai calon mereka pada PRU14 nanti.
  • SHAH ALAM - Kenyataan Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa pihaknya tidak mampu memenuhi semua janji pemimpin mereka jika menang pada PRU14 kerana mengambil kira faktor realistik.
  • KUALA LUMPUR - Perebutan undi Melayu pada PRU14 dijangka sengit dan akan dimenangi oleh parti yang mempunyai gerak kerja terkuat di akar umbi, kata Timbalan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin.
  • SHAH ALAM - Tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperuntukkan RM1.3 billion untuk membangunkan lima projek infrastruktur di Langkawi didakwa kerana takut akan bayang-bayang Pengerusi Pakatan Harapan (Harapan), Tun Dr Mahathir Mohamad.