KUALA KANGSAR – Harta Umno di seluruh negara diurus tadbir secara bersama oleh Umno negeri dan pusat berkuat kuasa awal tahun ini bagi mengelak sebarang masalah, kata Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata sebelum ini harta atau aset misalnya bangunan dikawal oleh Umno negeri atau bahagian sehingga kadang kala wujud kesulitan jika berlaku perubahan kepimpinan.

“Selalu bila ada perubahan kepimpinan, harta Umno seperti bangunan di kawasan tertentu (pengurusan) entah ke mana, macam-macam berlaku,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan persidangan perwakilan Umno Bahagian Kuala Kangsar di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Tengku Adnan yang juga setiausaha agung Barisan Nasional (BN) berkata semua parti komponen BN sedang melakukan gerak kerja sebagai persediaan untuk menghadapi pilihan raya  umum ke-14 (PRU14) yang akan diadakan pada bila-bila masa.

“BN sedang memantau gerak kerja semua parti komponen untuk memastikan semuanya berjalan lancar” katanya.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan turut meminta semua pihak di Kuala Kangsar meningkatkan kerjasama dan memantapkan usaha bagi memastikan Parlimen itu dan dua kawasan Dun iaitu Bukit Chandan serta Manong kekal milik BN pada PRU14.

“Kita tak nak ambil kira (keputusan) pilihan raya kecil (PRK) kerana bila PRK semua jentera ada di situ, tapi untuk PRU semua mesti kerja kuat dan bersatu memandangkan trend kemenangan BN semakin merosot sejak beberapa PRU lepas,” katanya.

Pada PRK Parlimen Kuala Kangsar pada 18 Jun 2016,  BN mengekalkan kerusi itu menerusi calonnya Mastura Mohd Yazid dengan majoriti  6,969 undi.

Terdahulu, dalam ucapannya Tengku Adnan meminta semua ahli parti supaya setia kepada Umno dan menyokong perjuangannya kerana ia merupakan sebuah parti yang mempunyai struktur jika dibandingkan dengan parti pembangkang. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor membidas tindakan tidak bertanggungjawab Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai yang cuba menggelirukan rakyat dalam isu jualan tanah dan pembangunan rumah mampu milik di kawasan Kuala Lumpur.
  • KUALA LUMPUR - Keanggotaan Umno mencecah 3,644,295 orang sehingga semalam dengan bilangan cawangan sebanyak 21,851 di seluruh negara kecuali Sarawak.
  • PUTRAJAYA - "Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 akan menunjukkan kepada parti-parti serpihan Umno mengenai kaedah melaksanakan mesyuarat agung mengikut perlembagaan parti yang menepati kehendak Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS)," kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.
  • KUALA LUMPUR - BN Wilayah Persekutuan telah menyerahkan senarai calonnya kepada Pengerusi BN yang juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk ditimbangkan bertanding di 13 kerusi parlimen di kawasan berkenaan pada PRU14.