KUALA LUMPUR - Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan (DUPWP) menyokong kenyataan Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri bahawa haram untuk pengundi menyokong kempen memboikot atau sengaja merosakkan undi pada pilihan raya umum ke 14 (PRU 14).

Ketua Dewan Ulamak Pas Wilayah Persekutuan, Dr Mohd Ali Jamil, berkata, pandangan Dr Zulkifli amat bertepatan ketika kempen #UndiRosak, #SpoiltVote dan #ProtesPRU sedang hangat dijayakan di media sosial oleh segelintir pihak yang kecewa dengan suasana politik negara.

Menurutnya, DUPWP melihat kempen atau tindakan merosakkan undi ini adalah satu kempen negatif yang ditaja oleh mereka yang mahu memusnahkan negara ini.  

“Dengan merosakkan undi, pengundi telah mensia-siakan peluang bagi menentukan proses kepimpinan negara. Mengundi ibarat membuat referendum terhadap parti politik dan pemimpin negara. Dengan mengundi, pengundi telah memberi nasihat, menegur dan melakukan perbuatan ‘amar ma’aruf nahi mungkar’ terhadap pemerintah yang didapati melakukan kesalahan.

“Begitu juga dengan mengundi, pengundi telah memberi hak untuk menyokong, membantu dan menaikkan pemimpin yang berhak atau layak untuk menjadi pemimpin. Bagi umat Islam, ia ada pertimbangan dosa dan pahala serta akan ditanya oleh Allah SWT di akhirat kelak. Dengan mengundi, pengundi telah menunaikan hak dan kewajipan mereka terhadap agama, masyarakat dan negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujar Dr Mohd Ali, apa yang dinyatakan oleh mufti selari dengan pandangan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga telah mengeluarkan kenyataan dan pandangan bahawa haram hukumnya bagi orang Islam melaksanakan agenda memulau pilihan raya atau merosak undi.

“Beliau menyatakan dengan tegas bahawa mereka yang memulau pilihan raya atau merosak undi adalah mereka yang telah menyerah kalah sehingga penentuan kuasa politik diserahkan kepada bukan Islam yang menjadi salah satu dosa paling besar,” katanya.

Tambah beliau, umat Islam yang layak mengundi namun belum daftar mengundi perlu segera membuat pendaftaran kerana haram dari segi syarak jika tidak mengundi serta tidak mendaftaran diri sebagai pengundi seperti mana dinyatakan mufti.

“DUPWP mengharapkan agar lebih ramai para mufti dan ulamak tampil ke hadapan memberi pandangan dan pendirian agar rakyat Malaysia segera  mendaftar diri sebagai pengundi dan seterusnya menunaikan kewajipan  untuk mengundi kerana itu adalah hak dan tanggungjawab mereka sebagai rakyat Malaysia yang perlu mengundi  dalam PRU14 nanti," katanya.