PETALING JAYA - Calon PH, Halimey Abu Bakar nekad mempertahankan kerusi Dun Seri Setia pada PRK kali ini selepas dipilih oleh kepimpinan parti untuk menggalas cabaran besar itu.

Menurut Halimey, antara fokus utama beliau adalah  melihat infrastruktur di kawasan penempatan kos rendah seperti Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang dan Desa Mentari.

"Kawasan Dun Seri Setia ini mempunyai banyak kawasan penempatan pangsapuri dan kos rendah. Ini yang menjadi keutamaan saya lepas ini," katanya selepas pengumuman pencalonan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

PRK Seri Setia bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru di mana Halimey akan dicabar oleh calon Pas, Dr Halimah Ali.

Mengulas mengenai tindakan parti lawan yang ingin menggunakan isu kegagalan pentadbiran 100 hari kerajaan PH dalam siri kempen mereka, Halimey berkata pihaknya hanya ingin memfokuskan kepada isu-isu di negeri Selangor pada PRK kali ini.

"Di Selangor sendiri kita dah banyak selesaikan isu-isu melalui Inisiatif Peduli Rakyat (IPR). Dan kita akan terus fokus dengan isu di Selangor,"katanya.

Kerusi Dun Seri Setia kosong selepas penyandangnya, Prof Dr Shahruddin Badaruddin meninggal dunia pada 2 Ogos lalu di Hospital Putrajaya akibat penyakit kanser usus.