PETALING JAYA - Calon PH bagi PRK Dun Seri Setia, Halimey Abu Bakar menjelaskan akan meneruskan tradisi dan pembangunan yang telah dirancang di kawasan Dun Seri Setia.

Katanya, antara fokus utama manifesto yang akan dibawanya adalah berkaitan soal pembangunan perumahan khususnya di kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang.

"Manifesto yang saya akan bawa adalah meneruskan pembangunan yang telah dibuat. Ini khususnya penambahbaikan kawasan perumahan di Lembah Subang.

"Saya akan berbincang bersama kementerian untuk mengenalpasti cara terbaik untuk mengatasi masalah yang dihadapi penduduk di PPR Lembah Subang dan perumahan pangsa yang lain," katanya sejurus pengumuman calon oleh Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain itu, Halimey turut mengucapkan terima kasih kepada pimpinan PH dan PKR kerana memilihnya sebagai calon Dun Seri Setia

"Terima kasih kepada Presiden PH, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Menteri Besar, Amirudin Shari dan seluruh pimpinan Pusat dan negeri.

"Begitu juga kepada seluruh ahli keluarga saya serta rakan-rakan pengundi di Seri Setia.

"Insya-ALLAH, dengan amanah yang diberikan ini, saya akan pikul tanggungjawab ini sebaiknya bagi mengekalkan kemenangan kepada PH," katanya.