KLUANG - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng didakwa tidak memahami tugas dan tanggungjawabnya apabila mendakwa 'tidak mempunyai kuasa' terhadap kilang-kilang haram di negeri tersebut.

Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Halimah Mohamed Sadique berkata, kenyataan Guan Eng itu dilihat seolah-olah beliau tidak memahami kuasanya dalam mengambil tindakan atau sebaliknya.

Katanya, Guan Eng sebenarnya berhak mengambil tindakan melalui agensi yang berada di bawah kuasa kerajaan negeri selain mengetahui fungsi agensi tersebut.

"Kerajaan negeri boleh arah pentadbir tanah daerah untuk ambil tindakan kepada mana-mana kilang yang dibangunkan secara haram di negeri berkenaan.

"Kalau dah dia kata tak ada kuasa untuk ambil apa-apa tindakan terhadap kilang-kilang haram yang berleluasa di Pulau Pinang maknanya Ketua Menteri tak faham apa tugas dan tanggungjawabnya,," katanya dalam sidang media selepas melawat tapak pembinaan Taman Komuniti Kampung Melayu Kluang, di sini, hari ini.

Yang turut hadir dalam majlis berkenaan, Ketua Pengarah Jabatan Landskap Negara, Esa Ahmad dan Yang DiPertua (YDP) Majlis Perbandaran Kluang (MPK), Nasri Md Ali.

Semalam akhbar melaporkan, Guan Eng mendakwa Kerajaan DAP Pulau Pinang 'tidak mempunyai kuasa' untuk menghentikan operasi kilang memproses serbuk kayu di Kampung Sungai Lembu, Penanti yang didakwa tidak memiliki lesen sejak 10 tahun lalu.

Guan Eng berkata, ini kerana kilang berkenaan terletak di atas tanah milik persendirian dan di­bi­na sebelum 2008.

Dalam masa sama beliau mengakui Kerajaan DAP Pulau Pinang tidak mengambil tindakan terhadap semua bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram dan wujud sebelum 2008 dan itu dijadikan sebagai dasar selepas mengambil alih kerajaan negeri.

Dalam pada itu, Halimah yang juga Ahli Parlimen Tenggara turut memberi contoh kawasan di Kluang, Johor dalam menangani isu kilang haram.

"Kita tengok sahaja kawasan di Kluang, Johor  bila ada kilang haram dibangunkan pihak pentadbir tanah akan ambil tindakan kerana itu adalah kuasa mereka.

"Tetapi bagi PBT, bila dia dibangunkan atas tanah itu kilang haram maknanya dia tidak melalui apa proses kelulusan dari segi utiliti mereka boleh ambil tindakan.

"Jangan sediakan kemudahan api, air dan sebagainya. Itu kuasa Kerajaan Negeri untuk selesai masalah pembinaan kilang-kilang haram dalam kawasan bandar terutamanya.

"Jadi saya ingat dia (Guan Eng) kena baca balik apa tanggungjawab Guan Eng, dia mungkin tak faham agaknya. Malah, ini bukan bidang kuasa kementerian kecuali kalau dia (Guan Eng) serah tanah kepada PTG baru tugas kementerian," katanya.

Halimah turut mempelawa Guan Eng untuk belajar dengan Kerajaan Negeri Johor cara membanteras masalah kilang haram di negeri ini.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :