SHAH ALAM - Pimpinan tertinggi parti kompenan BN iaitu MCA dan MIC enggan mengulas cadangan Umno yang mahu bertanding di PRK Sungai Kandis atas tiket parti itu.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong ketika dihubungi Sinar Harian berkata, beliau tidak dapat memberikan sebarang kenyataan.

Sebaliknya, Pengerusi MCA Johor itu menyerahkan perkara itu kepada rakan sejawatnya di Selangor yang juga merupakan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

"Beliau yang selayaknya memberi kenyataan. Saya Johor, dia Selangor," katanya ringkas.

Usaha untuk mendapatkan Tiong Lai tidak berhasil apabila panggilan telefon dan kiriman Whatsapp tidak mendapat sebarang reaksi daripadanya.

Sementara itu, seorang pemimpin tertinggi MIC menyatakan beliau akan mengeluarkan kenyataan berhubung cadangan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hassan secepat mungkin.

"Semalam kami ada bermesyuarat, namun tidak menyentuh soal PRK Sungai Kandis," katanya.

Terdahulu, Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat mengusulkan cadangan agar Umno bertanding atas nama sendiri pada PRK Sungai Kandis, Ogos depan, bagi melihat sejauh mana penerimaan rakyat di kawasan berkenaan terhadap parti itu.

Katanya, Umno perlu berubah menjadi produk baharu yang boleh dibeli.

“Mungkin kita boleh ‘test market’ di Sungai Kandis bertanding atas nama Umno bukan BN. Setuju atau tidak?,” katanya dalam Wacana Sinar Harian kali-64 yang berjudul ‘Mampukah BN Bangkit Semula?’.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Sungai Kandis: Bertanding atas nama Umno bukan BN]