BANGI - Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mengingatkan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya tidak sibuk menjaga tepi kain MCA berhubung cubaan pertama  parti itu menggunakan logo sendiri pada PRK Dun Balakong.

Ka Siong mempertahankan MCA menggunakan logo sendiri demi maruah dan perpaduan bukannya menjadi parti perkauman seperti didakwa.

"MCA dengan logo kita, jangan jaga tepi kain orang.

"Kami (MCA) buat untuk maruah, demi perpaduan. Nak lihat sejauh mana MCA dah kawan lama dengan rakan-rakan Melayu, India adakah mereka akan datang sama membantu," katanya ketika ditemui di pusat penamaan calon di Dewan Utama Demesne Pejabat Daerah/Tanah Hulu Langat di sini, hari ini.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu menyifatkan dakwaan dan reaksi negatif yang menyifatkan tindakan MCA menggunakan logo sendiri  sebagai alat serangan psikologi PH.

"Mereka tak restui PH sekarang. Saya rasa ini guna psikologi seolah-olah kita  (MCA) terjerat. Dulu beliau (Guan Eng) yang hancurkan perpecahan parti sendiri," katanya.

Menurutnya, mengikut logik, Guan Eng ketika PRU14 lalu, PH sudah bersetuju untuk semua calon menggunakan lambang PKR namun pada masa sama, di Sabah dan Sarawak masih menggunakan logo roket.

"Boleh  saya buat andaian beliau  tak seiring dengan PH atau gugusan yang dibentuk parti.

"Jangan jaga tepi kain orang. Kali ini kita buat hampir sama namun kita dilihat sebagai tindakan tak betul. Beliau kena ingat apa beliau buat 100 hari lalu," sindirnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: PRK Balakong: MCA guna logo sendiri]

Tambahnya, tempoh kempen 21 hari  yang disifatkan lebih panjang daripada dijangka memerlukan ketahanan stamina jentera parti untuk turun berkempen.

"Kita perlukan stamina tambahan untuk mendepani cabaran 21 hari ini, kena konsisten dan lipat gandakan usaha.

"Perlu fikir cara terbaik untuk tawan hati  30 peratus pengundi Melayu di Dun Balakong, macam mana nak tarik.

"Tapi kita (MCA) akan cuba sedaya upaya minta doa restu. Penilaian buruk PH dalam tempoh 100 hari akan dijadikan modal kempen kita," katanya.