MARANG - Bekas Ahli Dewan Negara, Datuk Seri Abdul Rahman Bakar memberi ingatan kepada ahli Umno termasuk Pegawai Penyelaras Dun agar tidak melakukan sabotaj kepada parti pada PRU14.

Menurutnya, penyokong kepada ahli politik yang tidak terpilih untuk bertanding perlu berlapang dada dan menerima keputusan parti seadanya sekiranya calon dikehendaki mereka itu tidak dipilih.

“Kita hendaklah menerima seadanya jika nama pemimpin politik yang kita mahu tidak diangkat untuk bertanding pada PRU14. Ini sudah ketentuan ALLAH SWT,” katanya kepada Sinar Harian di sini, semalam.

Abdul Rahman juga dikenali sebagai Giant Killer selepas menewaskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebanyak dua kali pada PRU 1986 dan 2004 berharap ahli Umno bersatu hati dalam menghadapi PRU14.

Abdul Rahman berkata, ini kerana, individu yang dipilih sebagai calon nanti bukanlah orang lain, sebaliknya sahabat mereka sendiri dan bertanding untuk BN sama ada di Parlimen mahu pun di Dun.

Menurutnya, adalah tidak wajar mana-mana pihak atau pemimpin terbabit merajuk atau kecil hati apatah lagi mensabotaj parti sendiri malah perbuatan berkenaan disifatkan sebagai berniat jahat.

Namun, beliau mengakui lazimnya tokoh disebut-sebut bertanding digantikan dengan tokoh lain enggan bekerjasama atau memberi sokongan kepada calon baharu yang menggantikan mereka.

“Tetapi mereka perlu ingat kita ada lembaga disiplin (Jawatankuasa Disiplin Umno). Perbuatan seperti itu boleh dikenakan tindakan malah individu dan pihak yang terlibat boleh dipecat,” katanya.