GEORGETOWN - Gerakan terbuka untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti yang mempunyai idealisme sama untuk membantu rakyat, kata Presidennya, Datuk Seri Mah Siew Keong.

Beliau berkata, bagaimanapun buat masa ini pihaknya belum berbincang atau berhasrat untuk berbincang dengan mana-mana parti berhubung perkara itu kerana mahu menumpukan kepada usaha memperkukuhkan parti terlebih dahulu.

"Pada masa kini kita fokus pada parti terlebih dahulu sebab selepas pilihan raya umum baru-baru ini kita akui ada kelemahan parti, banyak yang perlu kita buat. Dalam enam bulan selepas ini kita ada kepimpinan baharu dan kita akan fokus macam mana hendak memperkukuhkan parti kita dengan menarik lebih ramai anggota  baharu.

"Kita fokus dalaman parti dahulu untuk enam bulan ini. Saya serahkan kepada pemimpin baharu untuk buat keputusan (berhubung kerjasama dengan parti lain)," katanya pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Tahunan Parti Gerakan Pulau Pinang, di sini hari ini.

Gerakan menjadi parti bebas selepas mengumumkan keluar daripada Barisan Nasional (BN) pada 23 Jun lepas sebagai sebahagian daripada matlamatnya untuk menyatukan kembali parti dan anggotanya selepas kekecewaan dan kejutan dialaminya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Mah berkata, parti itu kini memberi tumpuan kepada pembaharuan parti dan usaha untuk menarik lebih ramai golongan muda memandangkan ramai yang masih tidak kenal dengan Gerakan dan tidak memahami matlamat dan pendirian parti itu.

Beliau berkata parti itu akan meningkatkan penyebaran maklumat berhubung Gerakan di media sosial supaya mesej sampai terus kepada golongan muda.

"Kini umur mengundi dikurangkan kepada 18 tahun, jadi kita harus bermula dari sekarang. Sekarang remaja yang berumur 14 tahun dalam empat tahun lagi akan jadi 18 tahun. Jadi kita kena menyantuni golongan muda," katanya.

Bekas Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi itu berkata, Gerakan akan menjadikan pilihan raya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) peringkat negeri Pulau Pinang yang dijangka diadakan dalam tempoh dua tahun akan datang sebagai penanda aras kepada pembaharuan dan prestasi parti itu.

"Kita akan bermula dengan pilihan raya kerajaan tempatan kerana ada banyak  masa . Ramai orang bertanya saya mengapa Gerakan tidak terlibat dalam pilihan raya kecil Balakong dan Port Dickson. Seperti yang saya katakan kita perlu memperkukuhkan diri. Saya akui kita belum bersedia.

“Kita mahu bermula  dengan pilihan raya di peringkat kerajaan tempatan dahulu barulah kita  fokus pada yang lebih besar (pilihan raya umum)," katanya.

Beliau berkata, Pulau Pinang akan menjadi negeri barisan hadapan  parti itu memandangkan Gerakan mula diasaskan di negeri itu.

"Kita boleh berjaya di Pulau Pinang. Banyak wakil kita berorientasikan perkhidmatan. Saya yakin penguindi akan memeilih mereka yang sedia untuk berkhidmat dan bekerja keras untuk rakyat," katanya. - Bernama