KUALA LUMPUR - Gerakan hari ini mengemukakan senarai bakal calonnya bagi PRU14 kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Pengerusi BN.

Senarai itu mengandungi lebih 60 peratus muka baharu.

Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata, mereka terdiri daripada semua kaum yang telah mencurahkan bakti di 45 kerusi ditandingi parti itu pada pilihan raya umum lepas.

Ditanya sama ada Gerakan akan bertanding di semua kerusi yang ditandinginya sebelum ini, Mah berkata perkara itu terserah kepada pengerusi BN untuk membuat keputusan, tetapi parti berkenaan yakin akan mencapai keputusan lebih baik di semua kerusi terbabit.

“Kami sudah serah senarai itu kepada perdana menteri dan setakat ini belum ada keputusan muktamad,” katanya selepas mesyuarat tertutup dengan Najib di ibu pejabat Gerakan di sini hari ini.

Berhubung persiapan parti itu menghadapi pilihan raya umum akan datang, Mah berkata  Gerakan menjangka berlaku perubahan di empat hingga lima kerusi yang ditandinginya sebelum ini.

“Ia sebenarnya keadaan yang disifatkan sebagai menang-menang. Sebagai contoh, sekiranya MCA yakin akan mencapai keputusan lebih baik di sesetengah kerusi kami, kami boleh bertukar-tukar kerusi. Tapi, tidak semestinya dengan MCA sahaja, boleh juga dengan mana-mana parti komponen lain (dalam gabungan  Barisan Nasional),” kata Mah sambil menjelaskan beliau tidak boleh menyatakan secara terperinci kerana perkara itu masih dalam perbincangan.

Mengenai Pulau Pinang, Mah berkata beliau yakin Gerakan akan mencapai keputusan jauh lebih  baik berikutan terdapat pelbagai isu di bawah kerajaan pimpinan DAP seperti projek terowong dasar laut.

“Kami yakin orang Pulau Pinang akan memilih beberapa wakil daripada Gerakan bagi tujuan mewujudkan semakan dan imbangan dalam Dewan Undangan Negeri.

“Selain itu, pada pilihan raya lepas, di Pulau Pinang, DAP menang kesemua kerusi yang ditandingi  mereka dan oleh kerana mereka tidak pernah kalah, mereka agak angkuh sekarang dan oleh itu, kami  yakin  kami akan mencapai keputusan yang jauh lebih baik,” katanya.

Mengenai pertemuan dengan Najib hari ini, Mah berkata perjumpaan singkat itu berlangsung dengan cukup baik di mana perdana menteri menasihati kepimpinan Gerakan supaya sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia serta membuat persiapan dengan sebaik mungkin bagi menghadapi PRU14.

Kata beliau, sebelum berlangsung perjumpaan selama satu jam 15 minit itu, di mana Najib turut diberi taklimat tentang persiapan Gerakan bagi menghadapi pilihan raya umum berkenaan, perdana menteri juga dibawa melawat 'bilik perang' Gerakan. — Bernama