KOTA BHARU – Barisan Nasional (BN) yakin dapat merampas kembali negeri ini terutamanya apabila fenomena Gelombang Merah kini mula menguasai jiwa rakyat sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Seri  Mustapa Mohamad berkata, Gelombang Merah yang dilancarkan sejak tiga tahun lalu seakan menjadi petanda baru kepada kebangkitan BN di sini dan mewakili rakyat yang menginginkan suara dan permintaan mereka didengar pihak yang sepatutnya.

“Gelombang Merah bermula sejak kejayaan ikon Kelantan, pasukan bola sepak negeri, The Red Warriors (TRW) meningkat naik dan menjadi ikutan kepada hampir seluruh rakyat negeri ini dan dalam masa yang sama kita turut menjadikannya sebagai salah satu slogan yang sebati dalam jiwa masyarakat semua walaupun hanya Kelantan sahaja yang menggunakan warna merah, yang lain semuanya biru,” katanya semasa Program Bicara Politik 'Gelombang Merah' semalam.

Menurutnya, BN yakin mampu menawan Kelantan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) akan datang kerana rakyat kini mula sedar tentang keperluan mereka yang harus dititik beratkan oleh kerajaan yang memerintah negeri tersebut.

Beliau berkata, dengan pelbagai isu yang ditimbulkan pihak pembangkang, kini banyak pihak yang mula sedar dan nampak tentang dasar pemerintahan pembangkang yang hanya bercakap kosong dan menabur janji palsu sahaja.

“Rakyat sudah sedar dan apa yang paling membanggakan apabila banyak kumpulan ulama dari pondok-pondok di negeri ini mula membuka mata tentang isu-isu seperti penggunaan kalimah ALLAH, buku 'Amanat Haji Hadi' dan pelbagai isu lain yang sebenarnya menghakis kepercayaan mereka kepada pembangkang.

“Kelantan merupakan negeri yang kuat berpolitik, tidak kira di mana sahaja berada, dari kedai kopi sehinggalah ke dalam surau, isu politik tetap menjadi bualan utama, malah masih ada lagi yang mengamalkan hukum-hukum songsang seperti orang Umno tidak boleh dikebumikan di tanah kubur milik orang Pas, orang Pas tidak boleh bersolat di masjid yang didirikan oleh pemimpin Umno dan sebagainya.

“Perkara inilah yang kita cuba rungkaikan supaya ia tidak menjadi sesuatu yang sebati dalam jiwa masyarakat sehingga menolak Umno sebagai sebuah kerajaan yang menjaga kebajikan rakyat di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri  berkata, baru-baru ini Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak merasmikan pecah tanah Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan dihadiri hampir 30,000 rakyat negeri ini yang rata-ratanya berebut untuk mendapatkan borang pemilikan rumah tersebut.

“Kita sediakan rumah dengan harga RM35,000 sahaja dan memberi insentif sebanyak RM125,000 untuk setiap rumah, ini bukan perkara main-main, ini kehendak rakyat, mereka sudah lama mengidamkan rumah kos rendah seperti itu supaya mereka tidak lagi terpaksa tinggal di sebuah rumah yang dihuni lebih dari tiga keluarga,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan yakin konsep dan prinsip penyatuan merupakan elemen penting kepada kelangsungan survival politik Melayu dan Islam.
  • SHAH ALAM - MIC mahu semua ketua bahagian dan cawangan parti itu di Selangor menyokong penuh calon BN yang akan dipilih untuk bertanding pada PRU14 akan datang.
  • KUALA LUMPUR - Gerakan yakin mempunyai peluang untuk menang di lima kerusi parlimen dan 12 kerusi Dun, pada PRU14.
  • KUALA TERENGGANU - Jentera media sosial Pemuda Umno tidak akan terpengaruh dengan jentera pihak pembangkang yang suka menghentam dan memfitnah kerajaan dan BN melalui alam maya.
  • ALOR SETAR - Rakyat tidak wajar terpedaya dengan dakyah pembangkang yang cuba mewujudkan stigma, kononnya bekas pemimpin Umno yang cenderung menyokong pembangkang bakal berdepan krisis kepimpinan apabila dikaitkan dengan pelbagai kes salah guna kuasa.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.