KUALA LUMPUR - Calon Naib Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Said menyalahkan gaya hidup pemimpin parti yang terlalu mewah dan kelihatan elit sebagai punca kekalahan Barisan Nasional (BN) pada PRU14 yang lalu.

Memetik laporan Astro Awani, beliau berkata, penampilan mewah itu menyebabkan mereka terpisah dari masyarakat dan sukar didekati selepas menjadi wakil rakyat.

Menurutnya, ada dalam kalangan pemimpin Umno berubah sikap sebelum mendapat jawatan dalam parti atau menjadi wakil rakyat.

"Kita manusia boleh bercakap soal amanah, soal integriti sebelum mendapat peluang, apabila mendapat peluang mereka sudah dapat di mana punca mencari kewangan, kekayaan dan sebagainya.

"Justeru itu kita perlu memikirkan iaitu orang yang benar-benar berjuang untuk kepentingan rakyat," katanya.

Manakala seorang lagi calon yang merebut kerusi Naib Presiden, Datuk Seri Johari Abdul Ghani juga  berpendapat, penolakan rakyat terhadap BN disebabkan faktor kreadibiliti dan intergriti parti dan pemimpinnya.

Katanya, sekiranya masyarakat mula mempersoalkan kreadibiliti dan intergriti parti dan pemimpin, maka segala usaha dan khidmat diberikan tetap tidak diterima.

Antara punca masyarakat menolak Umno-BN katanya, apabila terlalu banyak persoalan yang timbul dan gagal dijawab oleh pemimpin parti akibat hilangnya kreadibilti dan integriti.

"Benda-benda yang 'basic' yang kita tidak boleh jawab dan kita tidak penuhi yang masyarakat umum mengkehendakikan jawapan, kita tidak boleh beri maka over the priod of time kita hilang kredibiliti dan integriti," katanya.

Ahmad Said dan Johari adalah antara tujuh calon merebut jawatan naib presiden selain Datuk Seri Ismail Sabri, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Tajuddin Rahman dan Sheikh Razak Sheikh Hamid.