KUANTAN - Kerajaan perlu menggariskan satu etika kepada menteri-menteri Kabinet bagi meningkatkan kebolehan mereka menerajui negara dengan baik.

Pengerusi PKR Pahang, Datuk Fauzi Abdul Rahman berkata, ia penting bagi memastikan menteri Kabinet yang dilantik mempunyai tingkah laku baik, selain mengubah acuan minda mereka daripada pembangkang kepada kerajaan.

Beliau mengakui terlalu banyak kontroversi yang timbul disebabkan pemimpin PH selepas diberikan kuasa menerajui negara.

“Kalau boleh kita nak Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan  Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail buat satu garis etika kepada menteri-menteri ini.

“Sebab mereka masih baharu.. dan mereka masih tak sangka.. masih bermimpi-mimpi dengan jawatan yang diberi.. Jadi perlu ada kursus atau etika bagi membolehkan mereka menjaga kelakuan dan di samping meningkatkan prestasi mereka sebagai menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Sinar Harian mengulas kenyataan Dr Mahathir berhasrat mahu menghantar menteri Kabinet untuk menghadiri kursus dalam usaha menyekolahkan mereka.

Fauzi berkata, perubahan daripada pembangkang kepada kerajaan sebenarnya membuatkan menteri Kabinet kurang mengetahui budaya memerintah dengan baik.

Jelasnya, ini kerana kebanyakkan menteri Kabinet tiada pengalaman untuk memerintah, justeru timbul pelbagai tingkah laku yang tidak baik untuk tontonan rakyat.

“Kalau ada tingkah laku yang tak elok itu.. maafkan lah.. sebab masing-masing masih baharu sebab berpuluh tahun menteri-menteri ini adalah pembangkang.

“Bila dah jadi kerajaan, mereka kena ada satu garis panduan atau etika yang perlu mereka ikuti,” katanya.