SHAH ALAM – Adun Kota Anggerik, Yaakob Sapari berhasrat menjadikan Kota Anggerik sebagai bandar Tamadun Islam dan pusat ilmu jika diberikan mandat kedua untuk bertanding di kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang dijangka diadakan tidak lama lagi.

Beliau berkata, usaha itu bakal direalisasikan bagi memenuhi misinya yang berazam untuk menjadikan Kota Anggerik setanding dengan bandar maju lain daripada pelbagai segi khususnya taraf hidup penduduk.

“Perancangan untuk ini sudah ada untuk menjadikan bandar raya ini benar-benar ‘hidup’ dengan program ilmu yang turut diselitkan dengan sedikit elemen hiburan.

“Di sini terdapat empat universiti di sini antaranya Universiti Selangor (Unisel) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM). Suasana ini boleh mengubah pemikiran rakyat kepada gemarkan budaya ilmu,” katanya ketika diminta mengulas berhubung perkara yang ingin beliau lalukan sekiranya menang apabila dicalonkan sekali lagi untuk bertanding di kawasannya.

Yaakob berkata, keputusan sama ada beliau bakal menjadi calon atau tidak hanya akan ditentukan oleh pucuk pimpinan parti.

Bagaimanapun Ketua PKR Cabang Shah Alam itu mendakwa lebih selesa berada di Kota Anggerik sekiranya diberikan pilihan.

“Duduk sini mudah sebab ramai orang sudah kenal, tapi kalau parti berasakan saya perlu berkhidmat di tempat lain, itu hak pucuk pimpinan,” katanya.

Ditanya kemungkinan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail bakal bertanding di kerusi tersebut kelak, Yaakob menegaskan, penentuan calon itu adalah hak kepimpinan.

“Bagi saya, sebagai seorang ahli peringkat bawah, saya serah perkara itu kepada kepimpinan. Tugas saya hanya memastikan setiap kerusi yang ditandingi parti menang,” katanya.

Wan Azizah yang merupakan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu tidak dibenarkan bertanding di kerusi Parlimen selama lima tahun, selepas meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 31 Julai 2008.

Berikutan itu, PKR Selangor menawarkan empat kerusi selamat kepada Wan Azizah antaranya Kota Anggerik, Seri Muda, Seri Setia dan Sementa.

Dalam pada itu, Yaakob turut melahirkan keyakinan bahawa kerusi yang disandang beliau ketika ini sukar ditembusi Barisan Nasional (BN).

Keyakinan tersebut diluahkannnya berdasarkan kepada kajian yang menunjukkan sokongan ramai terhadap Pakatan Rakyat (PR).

“Mengikut kajian Merdeka Centre setakat Jun 2012, rakyat di sini lebih selesa dengan Adun mereka kerana keyakinan mereka bahawa kerajaan negeri berada pada landasan betul.

“Dalam program-program yang kita anjurkan, sambutan diterima daripada masyarakat setempat sangat menggalakkan terutama dalam majlis-majlis ilmu,” katanya.