• Fokus PRU 13 Fokus PRU 13
1 /

MENGIMBAU kembali konflik pembahagian kerusi ketika itu, Mohd Tajol Rosli terpaksa mengambil keputusan berat untuk menerima calon Gerakan, Datuk Tan Lian Hoe (Ahli Parlimen Gerik) menjadi calon di Lenggong, sementara Shamsul Anuar yang memegang jawatan Ketua Pemuda Umno Lenggong pada ketika itu dipindahkan ke Parlimen Gerik.

Ia bagi memberi laluan kepada Gerakan bertanding di satu kerusi dan Mohd Tajol Rosli ketika itu terpaksa mengetepikan calon pemimpin pelapis di kawasan sendiri. Bagaimanapun, keputusan akhir menyaksikan Lian Hoe bertanding untuk kerusi Parlimen Gerik dan Shamsul Anuar diberi kepercayaan dan dikembalikan untuk menerajui kawasannya sendiri iaitu kawasan Parlimen Lenggong.

Keputusan itu tidak langsung menjejaskan kepercayaan pengundi dan BN terus memenangi kedua-dua kerusi berkenaan pada PRU12. Walaupun kehilangan hampir 700 undi majoriti, jumlah kemenangan masih dikira baik berbanding kerusi lain yang sebelum ini dimonopoli BN, namun dirampas pembangkang pada PRU12.


Resepi orang lama

Sebagai ‘orang lama’ Datuk Mohd Tarmizi Idris dan Datuk Saarani Mohamad pasti mempunyai resipi tersendiri dalam mengekalkan kemenangan BN di kawasan Parlimen Lenggong. Mohd Tarmizi sudah dua penggal menyandang jawatan Adun Kenering dan Saarani selama tiga penggal menjawat jawatan Adun Kota Tampan. Rekod kemenangan itu membolehkan kedua-duanya digelar ‘otai’ untuk memahami dan mendalami apa sebenarnya yang dimahukan pengundi di kawasan masing-masing. Tidak ada cakap-cakap luar yang kedengaran mengenai konflik kerusi di dua Dun ini. Mungkin ia disebabkan sikap merendah diri (low profile) mereka yang kelihatan lebih senang menjawab isu bersangkutan sahaja daripada lantang bersuara menyatakan sesuatu di luar garisan seperti rakan pimpinan lain.

Namun kalau sudah namanya politik, tidak akan terlepas daripada pergeseran terutama menjelang PRU. Jika tidak menyentuh isu calon, soal kerusi pasti akan dibangkitkan. Itu juga yang terpaksa diharungi dua orang lama ini. Kemunculan suara dan wajah baru kepimpinan di peringkat Pemuda sedikit sebanyak pasti membuka mata banyak pihak yang selama ini berhasrat mencapai satu aspirasi lebih segar di bawah pimpinan muda.

Ia tidak mustahil berlaku apatah lagi pada awal tahun lalu sudah ada khabar angin mengatakan bakal berlaku perebutan kerusi antara calon lama dan baru bagi Dun di Parlimen ini. Apa juga keputusan, kita nantikan sahaja. Jangan sampai berlaku perpecahan dalaman antara parti sehingga boleh menggugat keputusan PRU.

Menginjak ke PRU13, BN memerlukan satu formula baru sekiranya mahu mengekalkan kemenangan besar. Faktor undi Melayu dilihat tidak lagi boleh dijadikan sandaran memandangkan aura ‘pembangkang’ menyusup masuk secara terancang dan strategik. Ia diakui sendiri Yang Dipertua Pas Kawasan Lenggong, Razman Zakaria yang memaklumkan sudah menjalankan gerak kerja semaksimum mungkin. Misi mereka hanya satu, untuk memecahkan minda yang selama ini dikongkong gelombang biru.

Apa yang pasti, sekiranya kemenangan terus memihak kepada BN, ia jelas menunjukkan keyakinan rakyat kepada pimpinan parti berkenaan. BN kelihatan tidak goyah walaupun sedikit. Namun jika keadaan sebaliknya berlaku, usaha yang digerakkan PR terutama Pas di kawasan itu dengan terang menampakkan hasil yang cukup lumayan.