• Penduduk Cina di Tanah Rata yakin MCA dapat menerajui Dun Tanah Rata dan dapat menjaga kebajikan penduduk di kawasan berkenaan. Penduduk Cina di Tanah Rata yakin MCA dapat menerajui Dun Tanah Rata dan dapat menjaga kebajikan penduduk di kawasan berkenaan.
1 /

CAMERON HIGHLANDS - Walaupun duduk di bawah satu payung, namun MCA Cameron Highlands bersiap sedia untuk menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Tanah Rata daripada Gerakan.

Seorang ahli MCA, Tung Cheok Nam, 65, berkata, sekiranya MCA berjaya memegang kerusi Dun Tanah Rata, ia memberi banyak kebaikan dan kelebihan kepada penduduk di kawasan itu yang majoritinya adalah pengundi Cina.

“Semasa pilihan raya 2008, kerusi Dun Tanah Rata dimenangi oleh Datuk Ho Yip Kap yang bertanding atas tiket Bebas. Beliau mengalahkan calon BN dan DAP dengan majoriti 575 undi.

“Beliau adalah ahli seumur hidup MCA sebelum dipecat selepas bertanding atas tiket Bebas," katanya.

Tung berkata, pada 3 Januari 2010, Pengerusi Jawatankuasa Badan Perhubungan Gerakan Pahang, Datuk Dr Ng Keong Chye mengesahkan Ho Yip Kap menyertai Gerakan.

“Walaupun Gerakan telah memenangi kerusi di sini namun itu tidak mematahkan semangat MCA untuk terus berjuang sebaliknya menggandakan usaha semaksimum mungkin agar dapat merampas kembali kerusi itu pada PRU13.

“Saya yakin pengundi di sini memberi lebih kepercayaan kepada MCA untuk menerajui Dun Tanah Rata dan dapat menjaga kebajikan penduduk di kawasan ini,” katanya.

Masyarakat Cina yakin BN

Seorang ahli MCA, Tan Boon Leng, 45, berkata, majoriti masyarakat Cina yakin kepada keupayaan Barisan Nasional (BN) menerajui Dun Tanah Rata.

Menurutnya, ini ditunjukkan oleh kepimpinan di peringkat Parlimen dan Dun yang telah membuka mata orang Cina bahawa kerajaan pimpinan BN banyak berusaha untuk membela nasib mereka.

“Masyarakat Cina melihat sendiri pendekatan yang digunakan oleh Ahli Parlimen dan Adun di sini sebagai pemimpin yang bersedia mendengar keluhan rakyat, serta sanggup turun padang untuk meninjau keadaan mereka.

“Masyarakat juga menyaksikan pelbagai perubahan dan pembaharuan di bawah kepimpinan BN bagi menarik semula sokongan masyarakat yang suatu ketika dahulu merupakan penyokong setia BN,” katanya.

Tan berkata, melihat kepada negeri-negeri di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat (PR) menyebabkan mereka tidak mahu diperdaya dan kecewa dengan parti pembangkang yang gagal menunaikan janji-janji.

Wajar kekalkan pemimpin

Sementara itu, Ketua Wanita MCA Bahagian Cameron Highlands, Tan Choo Kuan, berkata, pemimpin yang ada sekarang sama ada di peringkat Parlimen atau Dun wajar dikekalkan sebagai calon PRU 13 nanti tetapi dengan syarat pemimpin terbabit harus berubah.

Menurutnya, perubahan yang perlu dilakukan oleh pemimpin sama ada di peringkat Parlimen atau Dun ialah mereka perlu mendekati penduduk terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman.

“Pemimpin berkenaan perlu mengambil pendekatan mesra rakyat bagi mengetahui seterusnya menyelesaikan permasalahan yang dihadapi mereka.

“Cara santai itu berbeza berbanding perjumpaan formal atau ceramah bagi mendekati golongan sasaran. Dengan sentuhan peribadi sebegini, mereka lebih rasa dihargai dan tidak segan meluahkan masalah yang dihadapi sebelum dikemukakan ke saluran yang sesuai,” katanya.

Pengundi muda perlu bijak

Bagi Setiausaha UMNO Cawangan Kuala Medang, Ahmad Daniar Ismail berkata, pengundi muda dan mereka yang bakal pertama kali mengundi dinasihatkan supaya tidak terikut-ikut dengan sentimen mahu menukar kerajaan sedia ada semata-mata kerana mahukan perubahan.

Ahmad Daniar berkata, kerajaan BN sedia ada terbukti mampu mengubah nasib rakyat dan menjamin masa depan.

Menurutnya, pengundi muda dan yang baru mengundi mestilah memilih kerajaan yang boleh memberi mereka pembangunan demi kebaikan negara, bukan sahaja pada masa kini tetapi untuk masa-masa akan datang.

"Kerajaan kini ditadbir dengan baik. Jadi kenapa nak ubah hanya semata-mata mahu berubah. Pada saya, kalau kita nak ubah mestilah kepada yang lebih baik.

"Jika tidak, lebih baik kekalkan kerajaan BN sedia ada,’’ katanya.

Ahmad Daniar yang juga Pengerusi Gerakan Belia 4B negeri berkata,  pengundi muda tidak boleh terbawa-bawa dengan tanggapan bahawa dengan mengundi pembangkang akan boleh membawa perubahan sedangkan parti pembangkang di negara ini tidak mempunyai haluannya sendiri

"Tanggapan bahawa mengundi pembangkang mesti ada perubahan adalah tidak tepat. Ia tidak semestinya mendatangkan kebaikan kepada kita,’’ katanya.

Menurutnya, BN merupakan parti yang dapat mewujudkan permuafakatan yang tulen antara semua kaum dan ini perlu diakui oleh rakyat kerana semua kaum di negara ini mampu menikmati pembangunan yang sama rata dan adil.
"Kita tahu tidak ada alternatif lain yang boleh menggantikan BN,’’ katanya.