KUALA TERENGGANU - Selepas melalui episod duka pada PRU13 kerana kelebihan hanya dua kerusi berbanding pembangkang, BN bangkit untuk mempertahankan Terengganu dengan kemenangan lebih besar atau sekurang-kurangnya memperoleh majoriti dua pertiga dalam PRU14.

BN sudah menggerakkan misi mempertahankan 17 kerusi dan merampas 15 kerusi pembangkang sejak sekian lama dan Dun Ladang, salah satu kawasan yang dijangka dapat diambil semula oleh BN selepas dua penggal kerusi itu berada di tangan Pas.

Menggunakan slogan “Wi Gok Sekali”, BN kelihatan semakin berjaya menawan hati pengundi-pengundi Dun Ladang melalui gerak kerja turun padang Pegawai Penyelaras Dun Ladang, Datuk Mohd Sabri Alwi yang terkenal dengan sikap merendah diri, mesra penduduk dan ‘mudah base’.  

Mohd Sabri yang diberi kepercayaan mengembalikan semula sokongan masyarakat Ladang kepada BN tanpa mengenal penat jerih terus memberi khidmat kepada penduduk di sana walaupun parti itu tidak dipilih sebagai wakil rakyat.

Dengan pelbagai program, bantuan dan usaha meningkatkan kualiti hidup rakyat yang dilakukan parti itu sejak empat tahun lalu, BN  nampaknya berada pada landasan betul dalam misi 'membirukan' Dun Ladang.  

Disoal mengenai hasrat BN menawan semula kerusi itu, Adun Ladang, Datuk Tengku Hassan Tengku Omar mengakui Ladang berbeza daripada kerusi-kerusi lain bawah Parlimen Kuala Terengganu kerana kawasan itu menjadi idaman setiap parti yang bertanding kerana menjangkakan mampu menang mudah.

Jangkaan itu katanya, berdasarkan lebih 1,400 pengundi awal terdiri daripada anggota polis dan tentera yang terdapat dalam Dun Ladang.

“Dengan adanya pengundi awal ini, BN rasa Ladang mudah untuk dimenangi kerana kebiasaannya kumpulan ini lebih memihak kepada mereka,” katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Sabri (kanan) dikenali sebagai pemimpin mesra dan cakna.

Bagaimanapun kata Tengku Hassan, Pas akan tetap mempertahankan Dun Ladang kerana kerusi itu bakal menjadi salah satu penyumbang kepada kejayaan parti itu menawan Wisma Darul Iman dalam PRU14 pada 9 Mei nanti.

Menurut beliau, Pas yakin mampu mengekalkan kedudukan di kerusi itu dan ia dapat dilihat melalui sokongan pengundi Dun Ladang kepada parti itu semakin bertambah dengan peningkatan majoriti undi iaitu 31 undi pada PRU12 kepada 924 undi pada PRU13.

“Saya harap majoriti undi calon Pas akan semakin bertambah dalam PRU14 ekoran isu-isu yang menghantui rakyat. Ini harapan kita.

“Antara isu yang akan diberi perhatian adalah kemiskinan bandar di Ladang masih tinggi. Kita dapat lihat melalui ziarah dan kunjungan yang kita buat, orang yang ada anak OKU, orang tua mohon bantuan tapi tidak dapat perhatian sewajarnya,” katanya.

Tengku Hassan turut memberi bayangan bakal meneruskan kepercayaan parti mewakili kerusi Dun Ladang dalam berdepan dengan BN dan calon Pakatan Harapan melibatkan persaingan tiga penjuru.

“Kita tidak tahu, mungkin lebih dari tiga jika ada calon bebas. Meriah juga (perlawanan) tiga penjuru,” selorohnya kepada Sinar Harian.

Apa juga reaksinya, keputusan nanti berada di tangan 22,153 orang daftar pemilih Dun Ladang yang bakal jadi penentu sama ada kerusi itu kekal milik Pas, jatuh ke tangan BN atau berlaku kejutan daripada Pakatan Harapan.