Dun Kedah bersidang 90 minit
Beberapan pimpinan Kerajaan Negeri, Adun dan petugas media keluar dari dewan selepas penangguhan sidang.

ALOR SETAR - Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah,  mesyuarat pertama penggal kelima, semalam hanya berlangsung kira-kira 90 minit selepas Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak bangun mencadangkan agar persidangan ditangguhkan.

Speaker Dun Kedah, Datuk Dr Abd Isa Ismail menerima usul itu dan menangguhkan sidang kira-kira jam 10.30 pagi selepas mula bersidang jam 9 pagi.


Sebaik penangguhan itu, beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) kelihatan tidak berpuas hati dan mendakwa masa terlalu singkat untuk dibahaskan.

Keadaan ini juga membuatkan beberapa soalan panas tidak dapat dijawab Kerajaan Negeri walaupun ia disifatkan penting kepada rakyat Kedah.

Persidangan kali ini juga dilihat lebih ‘mesra’ antara dua pihak, ekoran wakil rakyat BN mahupun PR lebih banyak menjawab soalan lisan berdasarkan fakta, selain diselitkan dengan gurauan.

Tidak seperti kebanyakan persidangan sebelum ini, banyak isu dibangkitkan hingga menimbulkan kekecohan dalam Dewan hingga menyebabkan berlaku pertikaman lidah antara dua pihak.

Pada sidang Dun kali ini juga, semua Adun kelihatan hadir melainkan Adun Kuala Nerang, Datuk Syed Sobri Syed Hashim yang hilang kelayakkan sebagai Adun ekoran diisytiharkan muflis oleh Jabatan Insolvensi Negara sejak 7 April 2010.

Dalam pada itu, wakil pembangkang kesal kerana hanya lima soalan dapat diajukan dalam sidang semalam.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah yang juga Adun Bakar Bata, Datuk Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, masih banyak lagi soalan daripada wakil rakyat BN yang gagal diajukan kepada pimpinan Kerajaan Negeri selain soalan bertulis.

"Kita rasa tidak puas hati kerana hanya lima soalan mulut yang dapat dibawa dalam (sidang) Dun kali ini. Speaker hanya membenarkan sidang berlangsung kira-kira satu jam lebih sahaja. Kita harap boleh tanya banyak dalam dewan.

"Berapa soalan dapat diajukan antaranya masalah berkaitan geran tanah Felda, hasil bijih besi, isu pembalakan serta isu Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) dan dijawab pihak berkenaan," katanya pada sidang media selepas penangguhan sidang Dun.

Menurutnya, jawapan yang diberikan terhadap soalan yang sempat diajukan itu tidak tepat selain menunjukkan perbezaan yang ketara sedangkan Kerajaan Negeri seharusnya memberi jawapan yang tepat dalam dewan.

"Mengenai isu pemberian geran tanah Felda, ia dianggap selesai selepas Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) mengakui berlaku kesilapan dan memberi penjelasan bahawa surat tambahan bayaran premium itu terbatal.

"Namun mengenai isu pembalakan, jawapan kepada soalan berbangkit pada Sidang Dun 17 April lalu menyatakan bahawa keluasan kawasan balak yang diluluskan pada 2010 adalah 3,193 hektar. Namun laporan audit pula berbeza dengan mencatatkan pertambahan kawasan yang diluluskan ialah 7,856.11 hektar," katanya.

Sementara itu, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kebanyakan soalan yang dianggap agak 'panas' diletakkan di bahagian belakang menyebabkan ia tidak dapat diajukan wakil rakyat BN.

"Soalan panas itu dikemukakan oleh wakil rakyat BN, namun diletakkan di belakang. Sebagai contoh saya sendiri, soalan mengenai isu Insaniah adalah soalan bernombor 29, manakala mengenai dasar perumahan negeri pula bernombor 14.

"Jika betul mereka hendak berbincang (mengenai isu-isu berkenaan), kena letak (soalan) di hadapan, kita bahas," katanya.