• Menjelang PRU 13 Menjelang PRU 13
1 /

MARAN - Bekas Pengarah Jabatan Pelajaran (JPN) Pahang, Datuk Yahya Zainal Abidin dikatakan bakal bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) Chenor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13).

Spekulasi itu menjadi buah mulut selepas diuar-uarkan dalam sebuah blog tempatan yang mendakwa bakal menggantikan tempat Allahyarham Datuk Tan Mohd Aminuddin Ishak untuk bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN).

Blog itu turut mendakwa Yahya adalah calon popular ‘winnable candidate’ yang bakal diketengahkan Umno kali ini.

Bagaimanapun, Ketua Penerangan Umno Bahagian Maran, Shaiful Azman Mokhtar berkata, penyokong BN perlu memberi sokongan kepada sesiapa sahaja calon yang akan diputuskan pucuk pimpinan parti supaya kerusi Dun Chenor kekal milik BN.

Katanya, tanggapan sesetengah masyarakat mengatakan Umno Bahagian Maran sukar mencari calon bagi kerusi Dun Chenor ada asasnya, namun ia sekadar persepsi semata-mata.

Menurutnya, kasih sayang dan hormat terhadap Allahyarham Tan Mohd Aminuddin yang mempamerkan rekod perkhidmatan baik menyebabkan pemimpin lain tidak menonjolkan diri.

“Idea, pandangan serta penyelesaian masalah termasuk membabitkan pemimpin lain berjaya ditangani Allahyarham dengan baik. Maka, pemimpin akar umbi lain tidak terlalu menonjol atau menyerlahkan diri kerana mereka yakin terhadap kemampuan Allahyarham.

“Namun kami tetap menjalankan kerja berkaitan untuk meringankan beban tugasan Allahyarham,” katanya.

Saiful Azman berkata, calon bakal digantikan kelak berkemungkinan akan menempuh cabaran terutama apabila perbandingan dibuat penduduk dengan Allahyarham.

Sementara itu, Pemangku Ketua Umno Bahagian Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib berkata, spekulasi mengenai bekas Pengarah JPN Pahang itu berkemungkinan disebarkan pihak tertentu yang mahu menaikkan nama Yahya sebagai pilihan calon bagi kerusi Dun Chenor.

“Soal siapa calon bakal diletakkan pada PRU13 nanti terletak pada keputusan Perdana Menteri, namun setiap pemimpin boleh menawarkan diri untuk bertanding,” katanya.

“Siapa calon bukan keputusan Umno Bahagian. Maka kita tunggu sahaja siapa akan diputuskan pucuk pimpinan nanti,” katanya.

Bagi penduduk setempat, nama Yahya bukan asing lagi kerana perkhidmatannya di samping merupakan anak jati Kampung Paya Pasir yang terletak dalam Dun Chenor.

Beliau baru sahaja bersara dan dikurniakan Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP) sempena Hari Keputeraan Baginda, baru-baru ini, yang membawa gelaran Datuk.

Yahya pernah berkhidmat sebagai guru di beberapa sekolah sekitar daerah ini sebelum dilantik sebagai Pegawai Pelajaran Daerah Maran dan Pengarah Pelajaran Pahang selama hampir setahun.

Populariti dalam kalangan masyarakat menyebabkan Yahya didapati mampu memberi kemenangan kepada BN pada PRU13, lebih-lebih lagi apabila kerusi Dun Chenor dikatakan ketandusan calon berkebolehan.

Tidak dinafikan jawatan guru memberi satu kelebihan dan keistimewaan kepada Yahya yang berkredibiliti untuk bergelar Yang Berhormat, selain disenangi masyarakat setempat kerana perkhidmatannya selama ini.

Spekulasi mengaitkan nama Yahya itu mula meniti di bibir penduduk dengan pelbagai pendapat menyokong dan tidak terkecuali membantah kerana mahu kekosongan kerusi itu diisi pemimpin senior.

Difahamkan, Yahya kini berada di Mekah kerana menunaikan ibadah haji dan Sinar Harian akan cuba mendapatkan maklum balas beliau selepas pulang ke tanah air.

Kerusi Dun Chenor kosong apabila Allahyarham Tan Mohd Aminuddin meninggal dunia pada 19 Jun akibat komplikasi jantung.

Pada PRU12, Allahyarham menewaskan calon Pas, Mujibur Rahman Ishak dengan majoriti 2,468 undi.