SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak menyindir kerajaan PH hari ini terhadap pendirian mereka mengenai sikap peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Najib menerusi perkongsian dalam laman sosial Facebook peribadinya berkata, peminjam-peminjam PTPTN dihasut selama 10 tahun oleh pakatan (Pakatan Rakyat dan PH) untuk tidak membayar balik pinjaman mereka.

Bagaimanapun menurutnya, kini peminjam PTPTN pula sering dimarahi oleh PH kerana tidak membayar pinjaman pula.

”Mereka (peminjam PTPTN) tidak sepatutnya dimarah sebagai tidak amanah, memalukan bangsa sendiri… kini dimarah supaya mengabaikan janji manifesto PH.

“Peminjam-peminjam PTPTN hanya mahu menuntut PH untuk tunaikan janji-janji mereka,” katanya, hari ini.

Najib turut mengibaratkan situasi yang dialami peminjam PTPTN hari ini adalah seperti “sudah jatuh ditimpa tangga.

“Nasihat saya ialah untuk mereka yang mampu untuk membayar supaya membayar mengikut keupayaan masing-masing kerana akibat langkah kerajaan PH yang populis dan tidak bijak, kerajaan sedang mengalami tekanan fiskal yang teruk.

“Mereka (kerajaan PH) sudah kehilangan hasil sebanyak RM40 bilion setiap tahun selepas pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), melaksanakan semula subsidi pukal dan mengalami ketirisan dalam pengutipan cukai korporat dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST),” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Jangan politikkan PTPTN dengan manifesto PH: Maszlee]

Pagi ini, Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik meminta pihak-pihak tertentu termasuk pembangkang agar tidak berterusan mengaitkan hutang pinjaman PTPTN dengan manifesto PH ketika PRU14 lalu.

Maszlee berkata, setiap peminjam apa sekali pun, mereka perlu melunaskan hutang berkenaan termasuk dituntut di dalam Islam.

"Apa pun manifesto kata tetapi kalau sudah pinjam kenalah bayar hutang itu. Kalau sudah pinjam kenalah berusaha untuk membayar pinjaman itu.