SHAH ALAM - Rakyat di negara ini didakwa akan terus menderita nasibnya seandainya BN kekal memerintah negara ini.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pemerintahan BN kini acapkali dilihat memperkenalkan dasar yang membebankan rakyat.

"Lihatlah bagaimana pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) yang mana sebelum ini tidak perlu diwujudkan.

"Sedangkan Malaysia sebelum ini sebagai sebuah negara yang kaya mampu membekalkan rakyatnya dengan makan minum, membangunkan sekolah dan kemudahan awam, malah membina Putrajaya tanpa perlu ada GST," katanya ketika memberi ucapan pada Kongres Khas DAP 2017 di IDCC, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, katanya, sekarang pula wujud krisis tersembunyi yang bakal membebankan negara.

"Walaupun ia jelas dan terang kepada semua orang, hanya BN yang masih enggan mengakui masalah besar ini," katanya.

Dalam pada itu katanya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa tidak mempunyai strategi pertumbuhan untuk generasi akan datang.

"Sehinggakan GLC dan GLIC turut mencari pelaburan di luar Malaysia kerana menganggap pulangan pelaburan atau ROI di Malaysia terlalu rendah.

"Malah, keputusan melabur di negara asing dibuat selepas GLC ditawarkan dengan pelbagai faedah, insentif, keutamaan dan keistimewaan dalam pasaran Malaysia dan himpitan keluar atau crowding out modal swasta tempatan," katanya.

Dalam pada itu, katanya semakin ramai rakyat Malaysia terpaksa bekerja di luar negara untuk mencari nafkah tambahan.

Katanya lagi,dan semakin banyak pekerja asing yang tidak mahir, sama ada yang sah atau tidak, diimport ke Malaysia di bawah pentadbiran (Datuk Seri) Najib (Tun Razak).

Justeru katanya, keadaan ini menjejaskan peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia, dan mengakibatkan kebekuan gaji.

Katanya lagi, untuk Malaysia berkembang maju, kita perlu mengutamakan rakyat Malaysia.

"Matlamat ekonomi negara adalah untuk memenuhi keperluan dan aspirasi rakyat Malaysia, dan bukannya menjaga kepentingan GLC, kroni-kroni kaya-raya atau spekulator asing," katanya.
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :