KUALA LUMPUR - Sesiapa sahaja pemimpin Umno tidak seharusnya memegang dana parti secara peribadi.

Veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah berpendapat mana-mana pemimpin Umno tidak seharusnya memegang dana parti.

Katanya, dana parti termasuk derma harus dipegang oleh Umno secara kolektif sebagai satu pihak dan bukan oleh mana-mana individu.

"Tidak ada ahli yang perlu mengumpul wang sebagai derma walaupun untuk parti.

"Semua pembayaran untuk derma mestilah atas nama Umno, bukan atas nama personaliti, termasuk mereka yang mempunyai kuasa," katanya ketika ditemui media di Lobi Parlimen, hari ini.

Ku Li yang juga Ahli Parlimen Gua Musang itu berkata, masalah utama Umno ialah amalan politik wang.

“Ini bukan soal 'warlord' lebih banyak politik wang, lebih banyak buang duit, hal ini akan meningkatkan lagi syak wasangka berkenaan amalan rasuah.

"Dari mana mereka dapat semua wang ini, saya tak tak boleh terima cara ini,” katanya.

Ku Li sebelum ini bertanding jawatan Presiden Umno turut mendakwa bahawa pemilihan itu dicemari politik wang di mana beliau akhirnya tewas kepada Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.