PETALING JAYA - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan dia tidak akan turun berkempen ke Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson, namun akan memberikan sokongan penuh kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam PRK berkenaan.

Dr Mahathir berkata, kebiasaannya beliau tidak turun dalam kempen PRK tetapi tetap memberikan sokongan kepada calon yang bertanding.

Menurutnya, Anwar mempunyai hak untuk bertanding dan telah menerima panggilan telefon dari Anwar yang berada di Hong Kong berhubung keputusan bertanding dalam PRK.

"Saya tak masuk campur dalam urusan perbincangan (PRK Port Dickson). Jika Anwar menang, Anwar tidak meminta jawatan dalam kerajaan atau meminta menjadi menteri dalam kerajaan.

"Sejauh ini hubungan saya dengan Anwar baik," katanya semasa sidang media Bersatu di Menara Yayasan Selangor, di sini, hari ini.

Sementara itu ketika ditanya mengenai pembaziran dalam PRK, Dr Mahathir yang juga merupakan Pengerusi Bersatu menyatakan beliau tidak mempunyai sebarang pendapat mengenai perkara berkenaan.

[ARTIKEL BERKAITAN: Port Dickson untuk Anwar]

Sidang media di Ibu Pejabat PKR Rabu lalu telah merungkai teka-teki seluruh rakyat Malaysia apabila Anwar telah memilih untuk bertanding di kerusi Parlimen P132 Port Dickson.

Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Danyal Balagopal Abdullah secara sukarela mengosongkan kerusinya buat Anwar bagi membolehkan beliau diangkat sebagai Perdana Menteri ke lapan kelak.