TEKA-teki mengenai siapa calon yang akan bertanding di Dun Tepuh pada PRU14 ini akhirnya terjawab selepas Pas, BN dan Pakatan Harapan (Harapan) mengisytiharkan calon masing-masing.

Harapan menjadi parti pertama yang mengisytiharkan calon, iaitu Wan Hafizie Suzlie Wan Hassan, diikuti Pas, Hishamuddin Abdul Karim dan semalam, BN mengesahkan Datuk Basir Ismail akan bertanding di kerusi berkenaan.

Penampilan pertama Wan Hafizie Suzlie, 36, sebagai calon Pakatan Harapan (Harapan) Dun Tepuh bagi PRU14 juga menjadikan persaingan tradisi antara Pas dan BN berubah menjadi tiga penjuru kali ini.

Basir sememangnya menjadi nama yang disebut sebagai calon BN selepas beliau dilantik sebagai Pengerusi Penyelaras Umno Dun Tepuh dan Pegawai Pembangunan Parlimen Kuala Nerus sejak PRU13 lalu.

Manakala Pas memilih untuk mengekalkan penyandang sedia ada memandang khidmat ahli politik berusia 40 tahun itu masih ditagih bagi menarik lebih ramai sokongan golongan muda.

Kemunculan parti baharu iaitu Bersatu yang bergabung di bawah Harapan pada awalnya dilihat tidak terlalu memberikan saingan sengit sekiranya mengambil kira populariti  parti berkenaan di Dun berkenaan.

Ini kerana, hanya Pas dan BN yang menunjukkan sokongan ramai, namun perkiraan itu perlu dibuat semula memandangkan kawasan berkenaan merekodkan jumlah pengundi muda melebihi 50 peratus.

Justeru, Basir yang kini menjangkau usia 56 tahun perlu tampil dengan idea segar dan memberi fokus kepada golongan belia bagi bersaing dengan dua lagi lawan yang merupakan generasi muda.

Perlawanan dua calon muda dan seorang calon tua di kerusi yang sebelum ini dilihat mempunyai peluang sama rata antara BN dan Pas, namun kali ini mungkin sedikit ‘teruji’ buat Basir dalam usaha untuk merampas kembali kerusi itu.

Malah, Wan Hafizie yang juga Ketua Pemuda Bersatu Bahagian Kuala Nerus menyifatkan pemilihan beliau selaku calon Harapan di Dun Tepuh bagi PRU14 ini tepat pada waktunya.

Katanya, berdasarkan peratusan pengundi muda yang melebihi 50 peratus di kawasan itu dilihat bakal memberi kelebihan kepada beliau yang lebih jelas dan dekat dengan kehendak golongan berkenaan.

“Saya akan menggunakan sepenuhnya peluang melalui pencalonan ini untuk memastikan suara-suara orang muda lebih didengari oleh pihak atasan.

“Kita ingin memastikan bahawa nasib orang muda ini terus dibela sekali gus dapat meningkatkan taraf kehidupan mereka yang merupakan pewaris pemimpin pada masa akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, jelas ahli perniagaan itu lagi, keperluan dan kehendak golongan tua tetap diperjuangkan seiring dengan usaha untuk memastikan nasib rakyat semua peringkat terus dibela.

“Pengundi-pengundi kelompok usia yang lain kita tetap akan perjuangkan dan telah menjadi matlamat kita untuk memastikan pembangunan untuk rakyat dilakukan secara menyeluruh,” katanya.

Justeru, iltizam tinggi BN Terengganu untuk merampas kembali kerusi Dun Tepuh yang merekodkan majoriti tipis iaitu 229 undi berpihak kepada Pas tahun lalu dilihat sedikit sukar jika mengambil kira faktor umur calon.

Bagaimanapun, jika Basir bijak mengambil hati golongan muda serta golongan pengundi atas pagar tidak mustahil beliau mampu memenangi kerusi itu.

Pastinya, kempen calon muda menentang calon tua antara perkara hangat serta menjadi modal bagi ketiga-tiga calon yang disahkan bakal bertanding pada PRU kali ini.