SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yakin sokongan rakyat akan lebih kukuh ke atas Pakatan selepas mendengar ‘omongan’ Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Perhimpunan Agung Umno 2017, baru-baru ini.

Katanya, rakyat sudah boleh menilai rentak Najib yang tempang apabila menayangkan sikap berbeza dengan MCA dan Umno.

"Dalam Perhimpunan Agung MCA, Najib menagih undi dari bangsa Cina dengan meyakinkan DAP tak dapat memerintah negara walaupun DAP menang lebih besar dari PRU13 atau memenangi kesemua kerusi yang ditandingi.

"Najib minta masyarakat Tionghua bersama BN," katanya dalam kenyataan hari ini.

Namun menurutnya lagi, ketika bercakap pada PAU2017 di hadapan umat Melayu, Najib sengaja mencanangkan kononnya apabila BN tidak lagi berkuasa maka hilanglah kuasa politik Melayu dan negara dikuasai oleh DAP.

"Apa yang dikatakan Najib hanyalah bertujuan untuk menakutkan orang Melayu.

"Ini kerana Najib dan pemimpin Umno sudah risau akan kehilangan kuasa politik dan peralihan kuasa politik kepada Pakatan Harapan (Harapan).

Menurutnya lagi, kenyataan Najib hanyalah untuk meraih sokongan undi pada PRU nanti.

[ARTIKEL BERKAITAN: Mimpi ngeri jika pembangkang perintah negara]

Beliau dalam masa sama turut menyifatkan Najib kehabisan modal menarik sokongan undi rakyat terutamanya Melayu untuk BN pada PRU14 akan datang.

"Najib sekadar mengulangi ucapan sebelum ini sejak dua tiga tahun yang lalu atas isu menakutkan Melayu akan akibat Umno kehilangan kuasa politik pada PRU dengan menjadikan DAP umpama hantu yang mengusik di malam hari untuk menakutkan Melayu.

“Beliau hanya mampu mengumpan dengan mendendangkan Islam, Melayu dan Raja-Raja Melayu sebagai perisai untuk mempertahankan kuasa politik yang penuh dengan kejahatan jenayah rompakan,penipuan,salah guna kuasa,rasuah dan penindasan ke atas negara dan rakyat,” katanya lagi.