MELAKA - Pandangan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak semestinya benar kerana kaca mata musuh tidak akan melihat lawannya baik dalam apa keadaan sekalipun.

Demikian menurut Pesuruhjaya Pas Melaka, Kamarudin Sidek ketika diminta mengulas mengenai pandangan perdana menteri ketujuh itu yang menuduh politik Pas membawa perpecahan kepada orang Melayu dan bukannya agama Islam.

Kamarudin juga melihat, kenyataan tersebut seolah-olah dendam Dr Mahathir terhadap Pas masih belum reda.

“Hakikatnya rakyat tahu sikap Tun Mahathir yang banyak pecahkan parti Melayu sehingga tertubuhnya parti Semangat 46, PKR dan Bersatu.

“Isu yang Tun Mahathir bangkitkan itu bukan sikap Pas keseluruhannya tetapi adalah sikap segelintir kecil ahli Pas yang agak agresif,” katanya.

Sambil menjelaskan semua parti wujud penyokong yang bersikap agresif tetapi kebanyakannya adalah berpunca dari tekanan pemimpin pada masa itu.

“Saya rasa Tun Mahathir baca sejarah tak habis. Amanat Haji Hadi dijadikan modal isu kafir mengkafir ketika itu tetapi apabila Pas ajak berdebat tentang kebenaran dakwaannya waktu itu akhirnya dibatalkan.

“Tun Mahathir berani lontarkan tuduhan tetapi tak berani berhadapan, cuma mungkin beliau bernasib baik ketika itu kerana beliau perdana menteri,” katanya.