SHAH ALAM - DAP menyatakan sokongan terhadap prinsip agama Islam di negara berdasarkan Perlembagaan Malaysia, demikian menurut Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Beliau berkata, Islam yang disokong DAP adalah seperti menggalakkan proses pembinaan negara berdasarkan toleransi dan saling menghormati dalam masyarakat majmuk dan bukannya yang menimbulkan ketaksuban, kebencian dan ekstremisme.

“Saya melihat pandangan bekas menteri luar Thailand Surin Pitsuwan paling relevan untuk Malaysia.

“Ia juga mencerminkan hubungan antara DAP dengan Pas hari ini, di mana perubahan yang dibawa parti itu di bawah pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang berbanding sebelum ini di mana mereka mengamalkan dasar terbuka, toleransi dan inklusif di bawah pimpinan Datuk Seri Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Fadzil Noor dan juga Yusuf Rawa,” katanya yang dipetik dari laman blognya hari ini.

Kit Siang berkata, di bawah kepimpinan Nik Abdul Aziz dan Fadzil Noor, Pas menjadi parti kepada Rangka Kerja Dasar Bersama Pakatan Rakyat dan menganjurkan kerajaan kebajikan ‘Pas untuk Semua’.

“Tetapi di bawah Abdul Hadi, Pas bertukar kembali kepada Kerangka Dasar Bersama Pakatan Rakyat, berpecah Pakatan Rakyat dan kini menjadi pembela Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, skandal 1Mmalaysia Development Berhad (1MDB) dan Malaysia menjadi kleptokrasi global di mana undi untuk Pas akan menjadi undi bagi Umno.

“Di bawah pimpinan Abdul Hadi, rakan menjadi musuh dan musuh menjadi kawan,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.