KUALA LUMPUR - Umno hari ini berada di persimpangan jalan  untuk memilih haluan kanan atau tengah sahaja.

Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, sekiranya Umno memilih haluan kanan sebagai destinasi mungkin parti Melayu itu hanya sekadar menang sorak sementara. Namun, Umno pasti lingkup 10 hingga 15 tahun akan datang.

Bagaimanapun, menurut KJ, jika Umno memilih haluan tengah ia bukanlah jalan mudah kerana sukar difahami oleh ahli akar umbi.

Namun, tegasnya,itulah jalan yang ada untuk Umno terus survive.

"Jika modal untuk PRU15 hanya dengan momokan orang Melayu dengan isu seperti pelantikan bukan Melayu sebagai Peguam Negara, Ketua Hakim dan sebagainya. Lupakan sahaja impian menawan semula Putrajaya.

"Keresahan Melayu memang ada, tetapi perkara ini kecil berbanding isu ekonomi, sosial dan lain-lain lagi," tulisnya di Twitter.

Beliau menzahirkan kegusaran terhadap 'aktiviti' Umno selepas pemilihan parti itu baru-baru ini.

"Sejak selesai pemilihan Umno, apa yang parti saya buat? Main sentimen kaum, kutip tabung untuk bekas Presiden dan ulang semula. Tak salah kita bersolidarti dengan Datuk Seri Najib Tun Razak tetapi takkan itu sahaja Umno 'baharu'? Dah kena pukulan maut semasa PRU14, masih pekak terhadap suara rakyat? Soalnya.

Dalam pada itu, bekas Menteri Belia dan Sukan itu masih percaya bahawa Umno adalah khemah besar untuk orang Melayu.

"DNA asalnya ialah moderat, haluan tengah dan raikan kepelbagaian. Sebab itu saya masih bersama Umno.

"Tetapi saya tidak setuju manifestasi rasis yang semakin wujud selepas pemilihan parti," tegasnya.

KJ menyatakan beliau tidak menerima tawaran jawatan selepas kalah dalam pemilihan kerana perlukan kebebasan untuk bersuara dalam parti.

"Selepas kalah dalam perebutan Presiden Umno, saya tidak terima tawaran jawatan sebab saya perlu ada kebebasan untuk bersuara dalam parti.

"Biarlah ada kepelbagaian suara dalam Umno. Ada yang label saya liberal dan sebagainya , itu tak penting yang penting ada 'dissenting voice' vs haluan kanan parti.

Sementara itu, KJ menegaskan beliau tidak akan lompat parti, sebaliknya tetap bersama Umno.

Beliau cuma berhasrat memperbetulkan 'rumahnya' agar tidak kekal berwajah haluan kanan yang ekstrem dan rasis selam-lamanya.