PEKAN  - Ceramah Perdana Pakatan Harapan (Harapan) 'Selamatkan Malaysia' di Dataran Felda Chini 2, di sini,  malam tadi, berlangsung dalam suasana terkawal.

Sebelum ini, Umno Bahagian Pekan memberi amaran kemungkinan akan berlaku kekecohan pada program tersebut.

Bagaimanapun, ceramah yang dihadiri lebih 400 orang itu berjalan lancar dengan kehadiran Pengerusi Harapan,Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut hadir, Pengerusi Amanah,Mohamad Sabu; Setiausaha Agung Keadilan,Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan wakil DAP Pusat, Ronnie Liu yang berucap di hadapan penonton.

Turut menyampaikan ceramah, Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan,Mazlan Aliman; Ketua Pemuda Bersatu,Syed Saddiq Syed Abdul Rajman dan Timbalan Pengerusi Harapan Pahang, Leong Ngah Ngah.

Ceramah bermula kira-kira 9.30 malam dan berakhir kira-kira 11 malam itu dengan ucapan penamat oleh Tun Mahathir.

Dalam ucapannya, Tun Mahathir mengharapkan sokongan rakyat untuk memastikan kemenangan Harapan dalam PRU14 nanti.