• Ahmad Tajudin (kanan) meninjau ruang dalam van jenazah sumbangan Bank Rakyat untuk kemudahan penduduk sekitar Seri Fajar, di sini. Ahmad Tajudin (kanan) meninjau ruang dalam van jenazah sumbangan Bank Rakyat untuk kemudahan penduduk sekitar Seri Fajar, di sini.
1 /

KUANTAN - Pengumuman PKR Pahang untuk meletakkan calon mewakili parti itu di kerusi Parlimen Paya Besar dan Dun Lepar disifatkan sebagai bonus kepada Umno bahagian untuk pertahan dua kerusi itu dalam pilihan raya umum akan datang.

Ketua Umno Bahagian Paya Besar, Datuk Ahmad Tajudin Sulaiman berkata, hakikatnya PKR tidak mempunyai ramai ahli di kerusi itu sebaliknya hanya akan bergantung dan menumpang sokongan  Pas.

Katanya, beliau difahamkan calon akan dipertaruhkan untuk kerusi itu juga bukan penduduk tempatan dan ada kemungkinan berlaku masalah dalaman dalam kalangan ahli.

“Kita sedia menghadapi calon PKR di Parlimen Paya Besar dan Dun Lepar serta calon Pas di Sungai Lembing dan Panching kerana BN yakin dapat mempertahankan keempat-empat kerusi itu dengan majoriti lebih besar.

“Kita ada 25,000 ahli BN di Parlimen ini dan 18,000 adalah ahli Umno justeru mereka ini akan memastikan sebahagian besar daripada 47,000 pengundi di sini akan memberi sokongan kepada BN,” katanya ketika ditemui di Pejabat Umno Bahagian itu dekat sini, semalam.

Ahmad Tajudin berkata, BN sudah bersiap sedia  dengan rancangan gerak kerja hingga ke hari pengundian termasuk gerak kerja berkempen dan sebagainya.

“Pusat Daerah Mengundi (PDM) sudah bersiap sedia  manakala gerak kerja kempen akan terus kepada bahagian untuk digerakkan.

“Tiga PDM termasuk Sungai Lembing, Jalan Besar dan Gambang akan diketuai MCA sebagai satu kerjasama padu parti komponen manakala cawangan juga akan mewujudkan bilik gerakan masing-masing,” katanya.

Beliau berkata, BN akan mendekati pengundi secara sentuhan peribadi kerana ia lebih berkesan berdasarkan moto 'Hargai mereka dan mereka akan menghargai kita'.

“Kita yakin dengan segala persiapan yang dilakukan termasuk menarik 11,000 pengundi baru untuk menyokong BN." katanya.