SHAH ALAM - Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak perlu bertanding di Port Dickson sekiranya pembangunan yang dipersoalkan.

Pensyarah Kanan Jabatan pengajian Pentadbiran dan Politik Universiti Malaysia, Dr Muhammad Asri Mohd Ali berkata pembangunan boleh dilakukan kerajaan negeri yang diperintah oleh PH.

"Kalau bercakap soal pembangunan, tak perlu Anwar tanding situ.

"Kerajaan negeri boleh buat. Tak relevan nak cakap soal pembangunan," katanya ketika menjadi panel Wacana Port Dickson Pasca PRK : Apa Harapan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu, beliau melihat pilihan raya itu sebagai satu rahmat buat rakyat di Port Dickson kerana peluang perdana menteri dari Parlimen itu akhirnya bakal berlaku.

“Dalam situasi ini saya fikir rata-rata pengundi saya temui di PD ini melihat ini (PRK) satu rahmat kepada mereka sebab kalau diikutkan kemungkinan pengundi PD nak dapat PM, saya rasa untuk 20 tahun akan datang bahkan 50 tahun akan datang kita tak nampak.

“Mereka fikir kenapa tidak? Risikonya terlalu kecil jika dibandingkan dengan kemungkinan tadi? Kalau Anwar tidak tunaikan janji dan sebagainya, jangan bagi undi pada PRU15 nanti, jadi tidak ada risiko di situ,” katanya.

Beliau akui suasana kempen kali ini kurang kehangatannya kerana pemain politik tradisi, BN tidak bersama kali ini.

“Sebab itu suasana nampak tenang dan seolah-olah jangkaannya Anwar dapat laluan mudah. Kehangatan itu sudah cukup dengan kehadiran atau niat Anwar menjadikan PD platform untuk menjadi menteri.

“Dengan tidak ada lawan yang besar itu, saya fikir itu laluan mudah kepada beliau, soal peratusan keluar mengundi itu tidak menjadi kelemahan,” katanya.

Beliau turut melahirkan keyakinan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan menyerahkan kuasa kepada Anwar setelah tiba masanya nanti.

“Kalau lihat sudut positifnya, berdasarkan kepada bahasa tubuh dan kenyataan yang dikeluarkan, kita lihat Tun Mahathir akan realisasikan apa yang disebut-sebut sebagai janji dua tahun itu.

“Sebab itu beliau turun kempen ke PD. Saya fikir secara rasionalnya mereka ingin mempertahankan regim ini sekurang-kurangnya dua penggal.

“Kalau nak bergaduh pun bergaduh selepas itu. Aktor politik ini rasional, mereka tak akan pilih benda yang merugikan mereka,” katanya.