SERDANG - Puteri Umno Bahagian Puchong mencadangkan supaya bantuan awal persekolahan kepada pelajar diagih kepada golongan sasaran sekurang-kurangnya pada Disember, sebelum sesi persekolahan bermula.

Ketua Puteri Cawangan  Kampung Seri Langkas, Haryati Ahmad ketika mengusulkan perkara itu berkata, bantuan diberi sebelum ini kebanyakannya diedar dan diselaras selepas persiapan persekolahan dilakukan ibu bapa.

Katanya, bagi ibu bapa muda yang berpendapatan rendah serta mempunyai ramai anak bersekolah, agak sukar bagi golongan itu menyediakan persiapan pakaian, alatan serta yuran sekolah anak-anak dengan sempurna.

“Jika bantuan ini dapat diberi lebih awal sebelum sesi persekolahan bermula, ia dapat membantu dan memudahkan lebih ramai ibu bapa membuat persiapan untuk anak-anak mereka,” katanya ketika sesi pembentangan usul pendidikan dalam Mesyuarat Perwakilan Puteri Umno Bahagian Puchong, semalam.

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan supaya geran per kepala bagi setiap pelajar yang diperuntukkan untuk aktiviti kurikulum dinaikkan selaras dengan kos sara hidup semasa dan pertumbuhan ekonomi semasa.

Katanya, lebih 15 tahun, bayaran tersebut didakwa masih lagi kekal pada caj lama dan tidak relevan.

“Kos sara hidup dan perbelanjaan bagi setiap pelajar bertambah, tanpa kenaikan yang selari dengan kos sara hidup semasa, ia akan menjejaskan perjalanan aktiviti pelajar yang lebih proaktif di sekolah.

“Kami akan sediakan satu petisyen menggesa kerajaan teliti semula dua perkara penting ini di bawah agenda pemerkasaan Kementerian Pendidikan,” katanya.

Haryati yang turut membentangkan usul politik berkata, Umno dan BN kini berdepan cabaran mengekalkan sokongan rakyat terutama melibatkan generasi muda.

Puteri Umno Bahagian Puchong bertekad tidak mahu berdepan kekalahan lagi di dua Dun dan Parlimen dalam pilihan raya akan datang.

PRU13 banyak mengajar serta memberi impak kepada kepimpinan Umno khususnya kawasan Parlimen Puchong.

“Sebagai sayap bongsu dalam parti,kami tak mahu berdepan kekalahan sekali lagi dan mahu menawan kembali kedua-dua Dun serta Parlimen.

“Justeru, tiba masanya, ahli Umno khususnya puteri untuk terus bekerja dan berusaha ke arah memenangi PRU14. Semarakkan politik penyatuan bukan politik kebencian. Puteri terus sokong presiden serta  barisan kepimpinan parti dalam siap siaga menghadapi PRU14,” katanya.

Sementara itu, Ketua Puteri Umno Bahagian Puchong, Azirah Yahyah berharap semua ahli Puteri memberi kerjasama  sepanjang kempen PRU diadakan, kelak.

Katanya, setakat makluman pihaknya, tiada ahli Puteri yang ‘meloncat’ ke parti lain, sekali gus menunjukkan kesetiaan ahli pergerakan sayap Umno itu.

“Ini mesyuarat perwakilan terakhir sebelum PRU, kita sudah berikan mereka input secukupnya, insya-ALLAH setakat ni tiada ahli yang ‘beralih arah’,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.