ALOR SETAR - Pas sepatutnya menubuhkan kerajaan perpaduan di dua negeri yang dikuasai mereka di Kelantan dan Terengganu terlebih dahulu.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, beliau menyarankan Pas menunjukkan satu model kerajaan tanpa pembangkang yang boleh dilihat oleh semua orang.

Katanya, dua negeri berkenaan berada di bawah pemerintahan Pas dan sudah pasti mereka tidak perlu membuat tawaran atau menanti persetujuan daripada mana- mana pihak.

"Saya percaya pembangkang di sana iaitu BN pasti bersedia dan bersetuju untuk membentuk kerajaan,"katanya pada sidang media di Pusat Operasi Parlimen Pokok Sena, di Taman Satria, semalam.

Menurutnya, Pas jangan hanya sekadar untuk berpolitik dengan tawaran itu demi mendapatkan tempat dalam kerajaan.

"Mereka tak perlu sibuk nak cadangkan kerajaan perpaduan di negeri-negeri lain, sedangkan di kelantan dan Terengganu mereka tak pernah nak tawarkan kepada BN pun.

"Mereka tak perlu bimbang dengan Pakatan Harapan ( Harapan), sebab dari segi jumlah kerusi, di dua negeri itu tak ada pun kerusi Harapan," katanya.

Menurutnya, beliau juga belum lagi melihat Pas mengemukakan idea kerajaan perpaduan di Kedah ini secara menyeluruh.

"Mereka hanya kata nak selesaikan  masalah, sedangkan bagi saya tak ada masalah di negeri ini walaupun ada pihak yang menimbulkan isu tentang perlantikan speaker apabila tibanya sidang dun.

"Pada saya pemilihan speaker itu boleh diselesaikan melalui undian yang akan  dibuat dalam sidang Dun.

"Kalau Pas atau pembangkang mempunyai cadangan nama speaker dari pihak mereka, mereka boleh cadangkan,begitu juga dengan Harapan (kerajaan).

"Undian boleh dibuat dan keputusannya akan bergantung kepada jumlah undi yg diperolehi oleh setiap calon," katanya.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan, Pas Kedah menawarkan konsep kerajaan perpaduan Harapan Kedah demi kebaikan rakyat.

Bagaimanpun, kerajaan negeri melalui Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir menolak cadangan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan di Kedah yang dicadangkan Pas, berlandaskan kepada dua perkara.

Pertama, jika wujud kerajaan perpaduan, tiada proses semak dan imbang yang sepatutnya wujud apabila adanya pembangkang, dan kedua Pas akan menjadi pihak yang mendominasi kerajaan kerana beroleh 15 kerusi Dun pada PRU14 yang lalu.