BAGAN DATUK - Tidak ramai kontraktor dan perunding pembinaan gemar apabila ada pemimpin yang sering memantau serta turun melihat perkembangan projek pembangunan yang dilaksanakan mereka.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pihaknya sedar tindakan yang dilakukannya itu dipandang buruk segelintir pihak yang beranggapan itu sikap buruknya

"Ramai kontraktor dan konsultan bila saya hand's on lihat pembangunan setiap waktu mereka tidak suka tetapi saya mahu tahu sejauh mana perkembangan, adakah senarai semakan diikuti, garis masa dipenuhi.

"Saya juga mahu tahu adakah kontraktor yang dilantik itu berwibawa, saya mahu tahu kualiti bahan berkenaan serta yang penting saya mahu tahu adakah ada pemotongan harga yang tidak boleh dikompromi langsung," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Pembinaan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Bagan Datuk, di sini, pagi tadi.

Tambahnya tindakan yang dilakukannya tersebut bertujuan untuk memastikan agar tiada rakyat menjadi mangsa dengan keuntungan lebih dikaut pihak kontraktor.

"Kalau itu dimanifestasi sebagai perangai buruk, saya lakukan bukan untuk diri saya tetapi saya mahu jaga rakyat saya kerana tidak mahu rakyat dimangsakan.

"Fahamilah keadaan ini mudah-mudahan sama-sama kita majukan bukan hanya di Bagan Datuk malah seluruh Perak dan negara," katanya.