KOTA BHARU - Semua pihak termasuk pengundi di negeri ini perlu yakin bahawa BN Kelantan tidak akan mempertaruhkan calon kaki bodek pada PRU14 nanti.

Sebaliknya, Ketua Umno Kubang Kerian, Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani berkata, pemilihan sudah  pastinya mengambil kira kehendak rakyat di kawasan masing-masing dan juga kelangsungan BN.

Menurutnya, PRU14 sangat penting dan sememangnya calon boleh menang yang dipilih itu sebenarnya membantu BN kembali merampas Kelantan daripada Pas demi membawa perubahan di negeri ini.

“Yakinlah individu  dipilih nanti adalah orang yang akan bekerja untuk rakyat. Bukannya mahu mencari populariti sebagai calon. Jadi rakyat perlu memilih secara bijak,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam pada itu, Muhammad juga Yang Dipertua Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) Kelantan berkata, seharusnya 20,000  bekas tentera di negeri ini menterjemahkan penghargaan kepada kerajaan menerusi undi mereka kali ini.

“Sudah banyak kerajaan bantu bekas-bekas tentera dalam soal kebajikan diri sendiri dan juga keluarga termasuk pendidikan anak-anak.

“Jika dulu kita gunakan satu peluru untuk tembak musuh jadi kali ini kita guna kuasa kita untuk membantu membawa manfaat lebih besar kepada rakyat Kelantan,” katanya.

Semalam PVATM antara 30 badan bukan kerajaan yang menerima peruntukan daripada Kerajaan Pusat sebagai dorongan terhadap peranan mereka dalam membantu kerajaan berkhidmat kepada rakyat.

Mengulas mengenai sumbangan berjumlah RM20,000 itu, PVATM katanya akan memanfatkan dana tersebut demi kebajikan ahli-ahlinya yang memerlukan.

“Terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa menghargai bekas-bekas pejuang negara tanpa mengira musim,” katanya.