SERDANG – Pemuda Umno Bahagian Puchong tidak menafikan ada ahlinya yang sudah bertukar angin dan menyertai Pakatan Harapan namun jumlahnya didakwa terlalu sedikit.

Naib Ketua Pemuda Umno Bahagian Puchong, Mohd Zaki Md Yusoff berkata, ahlinya yang mengambil keputusan ‘meloncat’ ke parti lain itu mungkin belum cukup faham dan matang dalam dunia politik.

Menurutnya, apabila usia sudah meningkat kelak, barulah mereka yang sudah meninggalkan parti memahami pejuangan sebenar Umno.

“Jumlah yang lompat parti ni tak ramai…kita pun tak hairan dengan tindakan mereka…bagi saya  mereka bertindak demikian mungkin kerana ada kekangan atau sebab-sebab sendiri.

“Tapi saya percaya meski sudah bertukar parti, jiwa mereka masih pada Umno, jika boleh kembalilah ke pangkal jalan, marilah bersama-sama parti yang boleh memartabatkan bangsa Melayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Ucapan Penangguhan Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Puchong 2017, semalam.

Mohd Zaki dalam pada itu mengingatkan ahli Pemuda Umno Puchong supaya meninggalkan perangai negatif dan bersama-sama merapatkan kembali barisan kepimpinan.

“Buanglah perangai sikit-sikit nak merajuk tu…merajuk bukan pasal apa pun, kadang-kadang sebab mohon sumbangan,  lepas tu tak dapat banyak kerana peruntukan sedia ada terhad.

“Yang saya maksudkan merajuk bukan perwakilan di sini  sebab di sini hadir mesyuarat, harap para perwakilan dapat berpesan-pesan kepada ahli pemuda lain PRU14 dah nak dekat, cukup-cukuplah tu,”katanya.

Sementara itu Ketua Pemuda Umno Bahagian Puchong, Azmir Yuzaimi Mohd Yunos berharap golongan muda lebih cerdik apabila menerima sebarang maklumat.

Katanya, pemuda perlu berfikir secara rasional, bertindak secara professional dan tidak menerima maklumat secara membabi buta dalam usaha menawan kembali negeri ini.

“Sekarang nampaknya pemuda ada hala tuju jelas, pemimpin pemuda pun ada nilai besar sebagai karakter pemimpin masa depan.

“Kita sudah gerakan jentera di peringkat cawangan dan Pusat Daerah Mengundi (PDM) malah bersedia bila-bila masa hadapi PRU14,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Perasmian Serentak Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Puchong di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (Maeps), semalam.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • HULU SELANGOR - Umno dan BN Selangor mengutuk tuduhan tidak berasas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak perlu bertanggungjawab atas kekecohan yang berlaku di forum Nothing to Hide 2.0 pada Ahad lalu.
  • KUALA LUMPUR - Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, ada pihak beranggapan kekalahan BN Selangor pada PRU12 berpunca daripadanya.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.