SHAH ALAM - Mana-mana individu dalam PKR yang didapati terlibat dengan kesalahan politik wang dalam proses pemilihan cabang parti itu, harus dikenakan tindakan buang parti.

Calon Naib Presiden PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata ini kerana sebelum ini parti tersebut telah memperkenalkan kaedah satu anggota satu undi untuk mengelakkan isu seumpama itu berlaku.

“Sekiranya dua ahli PKR Kedah yang ditahan SPRM didapati bersalah, tindakan buang parti harus diambil.

“PKR adalah parti pertama yang memperkenalkan satu anggota satu undi sebagai satu kaedah bagi membendung masalah politik wang dalam parti ini,” katanya kepada Sinar Harian.

[ ARTIKEL BERKAITAN : Pemilihan PKR: Dua lelaki ditahan SPRM terlibat politik wang ]

[ ARTIKEL BERKAITAN : Politik wang: PKR minta ahli bertenang ]

Mengulas lanjut, beliau yang juga ahli Parlimen Setiawangsa berkata, bagaimanapun tindakan tersebut tertakluk kepada hasil siasatan yang dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seterusnya pihak mahkamah.

“Bagaimanapun, kita harus beri ruang kepada proses perundangan yang sedang berlangsung,” katanya.