KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) memulakan siasatan rasmi ke atas 1Malaysia Development Bhd (1MDB) bagi meneliti sama ada berlaku sebarang pelanggaran terhadap peraturan dan undang-undang bank pusat.
    
"Ini melibatkan arahan undang-undang dikeluarkan untuk mendapatkan maklumat daripada entiti tersebut," kata BNM dalam satu kenyataan hari ini.
    
BNM juga sedang mengambil kenyataan individu-individu yang terlibat dalam proses tadbir urus dan mendapatkan maklumat daripada pihak dalam negeri dan luar negeri yang berkenaan.
    
Selain itu, BNM berkata, ia telah menghantar maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa asing kepada agensi penyiasatan yang berkenaan setelah mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa asing.
    
"Bank Negara Malaysia ingin menegaskan bahawa sebarang penzahiran lanjut maklumat siasatan boleh menjejaskan hasil siasatan.
    
"Bank Negara Malaysia sedang mengambil segala langkah yang perlu di bawah bidang kuasa perundangannya, termasuk bekerjasama dengan agensi lain, untuk menyumbang ke arah penyelesaian perkara ini dengan secepat mungkin," katanya.
    
Menurut BNM, kenyataan ini dikeluarkan bertujuan untuk memberikan pencerahan mengenai peranan bank pusat berhubung dengan mana-mana entiti pemastautin, termasuk 1MDB, yang membuat pelaburan di luar negara atau mendapatkan peminjaman luar pesisir di bawah Seksyen 214 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 dan di bawah Akta Kawalan Pertukaran Wang 1953 yang berkuat kuasa sebelum 2013.  

Semua pelaburan melebihi RM50 juta pada setiap tahun kalendar dan sebarang peminjaman luar pesisir oleh entiti pemastautin yang melebihi RM100 juta perlu mendapatkan kelulusan BNM, katanya.
    
Sehubungan dengan ini, BNM berkata, semua permohonan yang dikemukakan oleh 1MDB perlu mematuhi kriteria kelulusan yang sama seperti yang digunakan bagi permohonan entiti perniagaan yang lain.
    
"Permohonan yang tidak memenuhi kriteria yang ditetapkan akan ditolak. Tiada kelonggaran atau pengecualian khas diberikan kepada 1MDB," kata bank pusat.  
    
Menurut perundangan yang ditadbir oleh BNM, terdapat tiga perkembangan yang  akan menyebabkan penyiasatan rasmi dijalankan.
    
Perkembangan itu ialah apabila wang yang diluluskan tidak digunakan untuk tujuan seperti yang dinyatakan dalam permohonan; apabila maklumat tidak tepat atau palsu diberikan dalam permohonan; dan gagal mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan untuk kelulusan.
    
Sebagai sebahagian daripada proses penyiasatan, BNM berkata, ia akan mengeluarkan suatu arahan undang-undang yang menghendaki maklumat menurut Akta berkenaan yang ditadbir oleh bank pusat.
    
"Ini memerlukan Lembaga Pengarah dan Pengurusan entiti berkenaan untuk memberikan maklumat dalam jangka masa yang ditetapkan. Di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, penalti yang dikenakan atas kegagalan memenuhi keperluan ini akan mengakibatkan denda sehingga RM50 juta atau penjara sehingga 10 tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
    
Berhubung dengan aliran dana merentas sempadan, BNM berkata, ia juga bergantung pada pihak berkuasa risikan kewangan negara luar untuk memaklumkan kepadanya mengenai transaksi luar biasa atau mencurigakan yang dibuat di negara mereka.
    
"Pengaturan perkongsian maklumat seperti ini, bagaimanapun, perlu mematuhi protokol antarabangsa. Pengaturan ini memerlukan maklumat dirahsiakan dan sebarang pelanggaran akan menyebabkan pengaturan tersebut ditamatkan.    

"Pengaturan ini juga membolehkan Bank Negara Malaysia berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa tempatan yang berkenaan selepas mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa asing," katanya.
    
Bagaimanapun, BNM berkata, skop perundangan bank pusat tidak memperuntukkan kuasa kepadanya untuk membuat siasatan dalam perkara seperti penipuan, pengelakan cukai, rasuah, tipu daya dan pecah amanah jenayah.
    
"Semua ini perlu disiasat oleh agensi penguat kuasa undang-undang lain," katanya. - Bernama