IPOH - DAP Perak seharusnya memberi tumpuan terhadap pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) seperti diarahkan Pendaftar Pertubuhan (ROS) berbanding mempertikaikan persidangan Dun Perak yang berlangsung sehari.

Pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan (BNBBC) Perak, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib berkata, Tindakan mempertikaikan sidang sehari DUN Perak tidak boleh membantu menyelamatkan DAP yang kini berada di hujung tanduk, kerana kemungkinan parti itu diharamkan atas sikap degil pemimpinnya kerana enggan mematuhi arahan ROS.

Katanya, pada 17 Julai lalu, ROS memberi tempoh 14 hari kepada DAP untuk mengemukakan maklumbalas berkaitan arahan supaya pemilihan anggota CEC dilakukan semula mengikut senarai perwakilan yang berhak hadir dan mengundi seperti mesyuaratnya pada 15 Disember 2012.

“Tempoh itu sudah berakhir 31 Julai lalu. Sebaiknya Kah Woh selaku Ketua Dapsy mengambil perhatian lebih terhadap nasib DAP yang sudah hampir berkubur, daripada mempertikaikan sidang Dun Perak yang dijalankan mengikut undang-undang".

"DAP Perak seharusnya berterima kasih kepada Kerajaan BN Perak kerana dengan bersidang sehari, mereka punya lebih banyak masa untuk menumpukan perhatian  membantu partinya bagi mengadakan segera mesyuarat pemilihan CEC," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Khusairi mengulas kenyataan Setiausaha DAP Perak, Wong Kah Woh yang mempertikai persidangan Dun Perak hanya sehari dan kesal terhadap gelaran yang diberikan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir terhadap parti itu.

Sebelum ini ROS membatalkan mesyuarat pemilihan anggota CEC yang diadakan kali kedua pada 29 September 2013 kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.