KUALA TERENGGANU – BN Terengganu telah membuat persiapan rapi dan sedia berhadapan dengan 13 calon yang dipertaruhkan Bersatu untuk bertanding dalam PRU kali ini.

Setiausaha Umno Negeri, Datuk Muhammad Pehimi Yusof berkata, parti itu bersedia dengan pelan A dan B untuk berdepan lawan dalam kalangan calon parti itu yang ada antaranya sejak awal telah dijangka akan bertanding.

“Mereka bebas untuk pilih kawasan mana yang mereka nak letak calon. Sekiranya mereka nak ganggu kemenangan kita pun dah bersedia dengan pelan A dan B.

“Apa yang berlaku (calon) ada antaranya di bawah ramalan dan kita dan kita telah pun membuat persediaan rapi untuk berdepan dengan mereka,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Walaupun begitu, beliau berkata, pihaknya tidak mempertikaikan kebolehan calon yang diketengahkan kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

“Apa yang pasti, kita dah sedia untuk hadapi mereka kerana ada antaranya yang kita dah tahu akan dipilih sebagai calon. Kita dah agak kemungkinan untuk dipilih sebagai calon.

“Dalam keadaan ini, kita tak boleh mempertikaikan kebolehan mereka, namun, kita ada kaedah untuk pastikan BN mampu atasi mereka,” katanya.

Ditanya mengenai tarikh pengumuman calon BN Terengganu, katanya, ia telah diputuskan oleh Presiden Parti, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Tarikh pengumuman calon BN Terengganu dah diputuskan presiden, kita sebagai petugas sedia terima apa sahaja keputusan presiden parti.

“Lihat sahaja dalam keadaan sekarang walaupun belum umum nama calon BN yang akan dipertandingkan di Dun atau parlimen, masing-masing bekerja bersama-sama untuk pastikan kejayaan terus memihak kepada kita,” katanya.

Kelmarin, Bersatu mengumumkan tiga calon di kawasan parlimen dan lapan di kawasan Dun manakala dua lagi calon bagi Dun Batu Rakit dan Langkap akan diumumkan dalam masa terdekat.