KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menawarkan kepada rakyat kestabilan, keharmonian dan pembangunan negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, BN  bergantung  kepada rekod baik dan perancangan masa depan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

"Itu yang kita (BN) ingin tawarkan kepada rakyat bahawa kita adalah parti yang bertanggungjawab yang akan menentukan kestabilan, keharmonian  dan memilih jalan tengah untuk membangunkan negara kita," katanya.

Beliau berkata demikian dalam wawancara bersama portal berita, The Malaysian Insight ketika ditanya jangkaan penganalisis dan kajian yang menjangkakan BN akan menang dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang jika berlaku pertembungan tiga penjuru.

Petikan wawancara itu disiarkan dalam blog https://sskeruak.blogspot.my/ hari ini.

Beliau yang juga Bendahari Umno berkata, pertandingan dua atau tiga penjuru bukan menjadi pertimbangan pokok BN pada PRU akan datang.

Ditanya sama ada BN terkesan dengan kehadiran Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan mampu kekal di Putrajaya, beliau berkata perkembangan kem pembangkang tersebut tidak mengganggu rentak BN mendapatkan kemenangan dalam PRU.

Jelasnya BN telah berjaya memberikan penjelasan dalam isu-isu berbangkit oleh pembangkang dan akan meneruskan usaha melaksanakan dasar kerajaan dan mendekati semua lapisan rakyat.

“Menjelang PRU memanglah macam-macam isu akan dibangkitkan. Masing-masing ingin menarik minat pengundi untuk bersama mereka dan ia tidak salah dalam sistem demokrasi kita. Tetapi kita harus percaya rakyat sudah matang dan boleh menilai mana parti sepatutnya dipilih menjadi pemerintah.

“Pembangkang pun tidak boleh menentukan siapa perdana menteri mereka, tidak boleh susun sendiri struktur parti mereka, jadi bagaimana hendak memberi kepercayaan kepada mereka. Kita akan jelaskan kepada rakyat tentang isu-isu yang dibangkitkan. Kita yakin majoriti rakyat akan bersama kita,” katanya.

Mengenai andaian pembangkang bahawa Sabah bukan lagi deposit tetap BN, Salleh berkata: "Insya-ALLAH BN masih (boleh) menang besar di Sabah kerana umumnya rakyat puas hati dengan pencapaian BN, kerana kita mengamalkan politik pembangunan”. - Bernama
 

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUALA LUMPUR - Kenyataaan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, yang kini menyedari bahawa persepsinya terhadap DAP selama ini salah, hanya menimbulkan pelbagai persoalan dan pandangan berkenaan sukar diterima, kata Bendahari Umno Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
  • KUALA LUMPUR - Tindakan beberapa pemimpin pembangkang keluar parti menunjukkan parti itu umpama dahan yang rapuh dan tidak mampu menjadi penyelamat kepada rakyat, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, pelbagai propaganda yang dikeluarkan DAP ketika ini hanyalah untuk memastikan ia tidak kehilangan undi kaum Melayu.
  • KUALA LUMPUR - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak menyifatkan andaian 10 hingga 15 peratus undi Melayu akan beralih kepada pembangkang pada PRU14 sebagai jauh tersasar daripada fakta sebenar.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.