• PRU13 PRU13
  • Salahuddin (kiri) dan Saifuddin (kanan) Salahuddin (kiri) dan Saifuddin (kanan)
1 /

SHAH ALAM - Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) berpendapat sudah tiba masa untuk meminda peruntukan undang-undang bagi membolehkan pembubaran Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (Dun) secara automatik dijadikan amalan mandatori selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Sehubungan itu, ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, Perlembagaan Persekutuan wajar dipinda untuk menetapkan lima tahun sebagai tempoh pembubaran Parlimen secara automatik.

Menurutnya, pembubaran secara automatik tidak menjadi kesalahan, tetapi kini menjadi perbualan masyarakat kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.

Beliau juga berkata, pindaan diperlukan untuk menetapkan tarikh pembubaran Parlimen secara automatik selepas lima tahun  dan ia perlu dibahaskan meliputi semua aspek.

"Kalau ia memerlukan pindaan perlembagaan, maka kita pindalah," kata beliau kepada Sinar Harian Online.

Khamis lalu, Dun Negeri Sembilan telah terbubar dengan sendirinya, sekali gus mencatat sejarah.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan turut berpandangan Parlimen yang terbubar sendiri boleh dijadikan amalan kerana mempunyai implikasi positif, terutama dari segi pembangunan negara.

Kelmarin, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf berkata, pembubaran Parlimen secara automatik memerlukan pindaan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan oleh kuasa dua per tiga majoriti.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, sebaik-bainya Parlimen wajar dibubarkan pada tempoh matang iaitu lima tahun.

"Saya cenderung kepada Parlimen dibubar hanya setelah tempohnya matang iaitu lima tahun. Kalau pun tak sepenuhnya lima tahun, sekurang-kurangnya empat tahun setengah.

"Tetapi, kini ia tidak dinyatakan dalam mana-mana undang-undang atau dalam perlembagaan," katanya lagi.

Dalam pada itu, Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub berkata, pembubaran Parlimen secara automatik akan diamalkan oleh PR jika berjaya membentuk kerajaan pusat.
Ahli Parlimen Kubang Kerian ini berkata, PR akan memimpin untuk menetapkan tempoh lima tahun sebagai 'sempadan' pembubaran Parlimen seterusnya.

Tambahnya, walaupun memerlukan banyak perbincangan dan rundingan serta sokongan dua per tiga di Parlimen dan Dun, pembangkang akan terus melakukannya sejajar dengan kehendak rakyat.

"... Pakatan Rakyat akan memimpin ke arah perubahan itu walaupun memerlukan masa dan ada halangan mengenai dua per tiga majoriti, PR akan teruskan perbincangan untuk mencapai ke arah itu," katanya.

Salahuddin juga berkata, kelewatan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan menimbulkan pelbagai persepsi negatif daripada rakyat.

"... kelewatan Najib mengumumkan pembubaran Parlimen selepas Dun Negeri Sembilan itu akan menimbulkan persepsi rakyat bahawa kerajaan tidak yakin dengan tampuk pemerintahannya," katanya lagi.