KUALA LUMPUR - Jentera Barisan Nasional (BN) termasuk Umno  perlu  mengatasi sindrom ‘memandang rendah kemampuan sendiri’  dalam usaha menangkis fitnah yang dilempar pihak pembangkang terutamanya di media sosial.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa berkata jentera parti mesti mempunyai keyakinan dan keberanian dalam usaha menepis dakwaan dan sentimen kebencian yang ditanam pihak pembangkang melalui gerakan kempen mereka.

"Kita mesti atasi masalah psikologi iaitu jangan bergerak ke hadapan tanpa mempunyai 'mentaliti kemenangan ' sedangkan kita mempunyai kelebihan dalam banyak perkara,” katanya sewaktu menjadi salah seorang panel pada sesi 'townhall’, Dialog Perjuangan4all di sini malam tadi.

Turut menjadi panel Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri yang juga Ketua Penerangan Wanita Umno, Datuk Rosni Zahari dan Exco Pemuda Umno, Shahril Suffian Hamdan. 

Annuar berkata pendekatan seperti sesi dialog secara terus bersama masyarakat membuktikan ketegasan BN yang tidak gentar menepis fitnah dan menegakkan kebenaran.

Sesi 'townhall' yang julung kali diadakan itu merupakan pendekatan baharu untuk memberi penjelasan kepada masyarakat umum dan akar umbi mengenai kejayaan dasar transformasi Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Najib Razak dan dasar pentadbiran kerajaan BN.

Dialog di Parlimen Wangsa Maju itu dihadiri kira-kira 500 peserta terdiri daripada pemimpin masyarakat, pemimpin pelajar, pemimpin NGO setempat dan aktivis belia. - Bernama