JOHOR BAHRU - Lebih 1,000 jentera BN Pasir Gudang hadir pada Majlis Memperkenalkan Calon BN Pasir Gudang bagi PRU14 di Dewan Serbaguna Johor Jaya, sebentar tadi.

Selain itu, turut diadakan pelancaran jentera pilihan raya Pemuda BN Pasir Gudang.

Pada majlis tersebut, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin diperkenalkan sebagai calon kerusi Parlimen Pasir Gudang dan Dun Permas.

Manakala Datuk Tan Cher Puk pula diperkenalkan kepada jentera sebagai calon Dun Johor Jaya.

Mohamed Khaled dalam ucapannya memuji semangat jentera yang disifatkan belum pernah dilihatnya sebelum ini.

“Perkumpulan kita pada malam ini adalah cerminan manifestasi betapa kuatnya kita di Pasir Gudang. Ia juga menggambarkan bahawa kita semua sudah bersiap sedia untuk menggempur pihak pembangkang.

“Pendek kata kita berkumpul pada malam ini adalah untuk kita nyatakan kepada semua, kepada dalam kalangan kita dan mereka di luar sana lebih-lebih lagi pembangkang bahawa kita sudah bersedia berhadapan pilihan raya,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, PRU kali ini merupakan pilihan raya yang sangat sengit dan pembangkang meletakkan harapan tinggi untuk menawan Johor termasuklah Pasir Gudang.

“Kita tahu Pasir Gudang ini merupakan fokus dan tumpuan mereka kerana mereka kenal pasti Pasir Gudang sebagai kawasan marginal. Tetapi PRU kali ini, kita akan buktikan mereka tersilap percaturan.

“Malah untuk Johor, pilihan raya kali ini, kita nak pastikan supaya kita dapat mengalahkan semua pemimpin utama parti pembangkang,” katanya.